TASEK GELUGOR: Ekspo PERDA (EXPERT) 2026 anjuran Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) mencatat nilai keseluruhan RM8.72 juta menerusi jualan tunai, pemerolehan kontrak dan memorandum persefahaman (MoU) sepanjang penganjurannya selama tiga hari bermula 2 Okt lepas.
Timbalan Setiausaha Dasar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Abdul Kahar Abdullah berkata jumlah itu merangkumi RM1.83 juta jualan tunai, RM6.89 juta pemerolehan kontrak dan enam MoU bernilai RM3.1 juta melibatkan 12 syarikat.
"Enam MoU itu termasuk pertukaran antara 10 syarikat usahawan tempatan dengan dua syarikat antarabangsa dari China, sekali gus memperlihatkan potensi EXPERT sebagai platform perdagangan dan jaringan perniagaan antarabangsa.
"Hubungan yang dibina sepanjang EXPERT perlu diterjemahkan kepada transaksi perniagaan sebenar, yang akan membuka pintu kepada pasaran baharu untuk usahawan Pulau Pinang," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup EXPERT 2026 di Midtown PERDA, Kubang Menerong, di sini malam tadi.
Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri I Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri Datuk Rashidi Zinol serta Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum.
Abdul Kahar berkata EXPERT 2026 merekodkan kehadiran 75,525 pengunjung dan 251 pempamer termasuk penyertaan antarabangsa, melibatkan usahawan dan pempamer dari China, Thailand, Singapura dan Indonesia selain Malaysia yang mencerminkan sambutan menggalakkan terhadap platform berkenaan.
Beliau berkata EXPERT bukan lagi sekadar medan promosi dan jualan, malah telah berkembang sebagai platform untuk menghubungkan usahawan tempatan dengan pembeli, pengedar, pemain industri dan rakan perniagaan antarabangsa.
Beliau menyifatkan kejayaan EXPERT 2026 sebagai titik permulaan kepada pasaran yang lebih besar dengan program itu terus diperkukuh sebagai platform pembangunan usahawan, padanan perniagaan, industri halal dan jaringan antarabangsa.
“Kita mahu produk usahawan Pulau Pinang berkembang ke seluruh Malaysia, seterusnya menembusi pasaran dunia," katanya.
Abdul Kahar berkata EXPERT 2026 turut menjadi platform bagi memperkukuh penyertaan usahawan dalam industri halal, selaras dengan aspirasi kerajaan untuk meningkatkan daya saing produk halal Malaysia di pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Mohamad berkata pelaksanaan EXPERT 2026 bertepatan dengan visi Penang 2030 yang memberi tumpuan kepada peningkatan taraf ekonomi dan pendapatan isi rumah menerusi pengukuhan keupayaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata inisiatif itu menyokong usaha kerajaan negeri membina ekosistem yang membolehkan perniagaan berkembang dan pembangunan ekonomi yang berlaku bukan sekadar menghasilkan pertumbuhan, sebaliknya turut memberi manfaat secara lebih inklusif kepada rakyat dan komuniti.
"Ia bertepatan dan selari dengan visi Penang 2030 yang diletakkan hala tuju yang jelas untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri maju dengan acuan visi yang jelas, iaitu pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.
"Antara tumpuan dalam konteks Penang 2030 ialah menaik taraf ekonomi bagi meningkatkan pendapatan isi rumah, termasuk memperkukuh keupayaan PKS dan membina ekosistem yang membolehkan perniagaan berkembang," katanya.
Bertemakan “Sinergi Halal: Memperkasa Usahawan, Memacu Ekonomi”, EXPERT 2026 menawarkan pelbagai kluster termasuk makanan dan minuman, pertanian dan agromakanan, automotif serta kraf tangan dan industri kreatif, selain pengisian seperti program wanita, aktiviti kekeluargaan, karnival buku, jualan Agro MADANI dan aktiviti pendidikan.
Selain itu, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan yang menampilkan barisan artis tempatan antaranya Ara Johari, Kristal X, Drama Band, Rabbani, Cherpen, XPDC dan Ijam Medicine.
-- BERNAMA