DALAM sejarah institusi, terdapat detik apabila sesuatu reformasi membawa makna yang jauh melangkaui penggubalan suatu Akta Parlimen.
Pengwujudan Perkhidmatan Parlimen merupakan salah satu detik tersebut.
Pada tahun 1963, Parlimen menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 [Akta 394] yang menubuhkan suatu perkhidmatan khusus bagi Parlimen.
Akta tersebut kemudiannya dimansuhkan melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 1992 [Akta A837], berkuat kuasa mulai 20 November 1992.
Selama lebih daripada tiga dekad, rakyat Malaysia terus membincangkan keberkesanan pelaksanaan tanggungjawab perlembagaan Parlimen, dengan menekankan kepentingan kebebasan, profesionalisme dan keupayaan institusi.
Pada tahun 2025, Parlimen menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 [Akta 869] untuk mewujudkan suatu Perkhidmatan Parlimen yang berasingan dalam
kerangka yang bersesuaian dengan keperluan semasa.
Dengan berkuat kuasanya Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA), kita telah beralih daripada perbahasan kepada pelaksanaan.
Persoalan yang lebih tepat ialah: Apakah bentuk Parlimen Malaysia yang ingin kita bangunkan?
Sebuah Parlimen moden memerlukan pegawai Parlimen yang mempunyai pengetahuan khusus dalam bidang undang-undang Perlembagaan dan undang-undang Parlimen, penggubalan undang-undang, penyelidikan dasar, pentadbiran jawatankuasa, penelitian kewangan, amalan Parlimen antarabangsa serta bidang baharu seperti kecerdasan buatan dan tadbir urus digital.
Oleh itu, Parlimen kita mesti berupaya mengurus pentadbirannya dan membangunkan kepakaran profesionalnya dengan mengambil iktibar daripada amalan Parlimen di United Kingdom, Kanada dan Australia.
Parlimen tidak dapat meneliti tindakan pihak Eksekutif secara berkesan tanpa keupayaan pentadbiran, kepakaran profesional dan sumber yang diperlukan untuk melaksanakan fungsi tersebut.
Perkhidmatan Parlimen menyokong Ahli Dewan Rakyat serta Senator dan memudahkan mereka melaksanakan pelbagai tanggungjawab termasuk membahaskan rang undang-undang, menilai dasar Kerajaan, meneliti perbelanjaan awam, mengambil bahagian dalam Jawatankuasa Pilihan dan mewakili jutaan rakyat Malaysia.
Pelaksanaan tugas ini memerlukan komitmen politik dan keupayaan institusi.
Inilah tujuan sebenar PSA.
Matlamatnya bukan untuk mewujudkan satu lagi lapisan birokrasi, tetapi untuk membina keupayaan institusi yang diperlukan agar Parlimen dapat melaksanakan peranan Perlembagaannya.
Parlimen berkhidmat untuk rakyat dan pentadbirannya mesti menyokong keseluruhan institusi secara saksama tanpa memihak.
Satu lagi prinsip asas perlu ditegaskan: Parlimen merupakan institusi yang berasingan daripada pihak Eksekutif dan autonomi pentadbirannya mesti dilaksanakan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan.
Parlimen bukan milik Kerajaan yang memerintah atau mana-mana parti politik.
Kerajaan dan Pembangkang lazimnya mempunyai pandangan yang berbeza, selaras dengan salah satu ciri utama demokrasi berparlimen.
Akta ini menubuhkan Majlis Perkhidmatan Parlimen yang bertanggungjawab terhadap pelantikan, pengawasan kewangan dan pembangunan anggota Perkhidmatan Parlimen.
Keanggotaannya merangkumi wakil daripada kedua-dua Majlis Parlimen, termasuk Ahli Dewan Rakyat daripada pihak Kerajaan dan Pembangkang.
Peruntukan ini memberikan asas pentadbiran yang nyata bagi melaksanakan prinsip autonomi Parlimen.
Namun demikian, kebebasan Parlimen tidak boleh disalahertikan sebagai
kebebasan daripada akauntabiliti.
Perbezaan ini penting. Autonomi Parlimen tidak bermakna Parlimen berada di atas Perlembagaan; pegawai Parlimen tetap tertakluk kepada piawaian profesional, manakala wang awam mesti diurus dengan kawalan yang sewajarnya.
Kerajaan tetap bertanggungjawab di bawah seksyen 12 PSA untuk menyediakan
dana yang mencukupi bagi Perkhidmatan Parlimen pada setiap tahun.
Walaupun wujud perbezaan politik, semua pihak berkongsi institusi yang
sama, iaitu Parlimen.
Ahli Parlimen daripada pihak Kerajaan dan Pembangkang berada pada pihak yang bertentangan, namun mereka tetap merupakan anggota institusi Parlimen yang sama.
Oleh itu, institusi, kemudahan, keupayaan penyelidikan, sokongan jawatankuasa dan perkhidmatan pentadbiran Parlimen mesti menyokong keseluruhan Parlimen.
Perkhidmatan Parlimen yang profesional mesti mengekalkan sikap berkecuali dalam politik.
Kesetiaannya hendaklah ditujukan kepada institusi Parlimen dan Perlembagaan, bukannya kepada mana-mana gabungan politik yang membentuk Kerajaan.
Parlimen yang lebih kukuh dapat membantu mewujudkan Kerajaan yang lebih berkesan dan bertanggungjawab.
Ada pihak yang mungkin mempersoalkan sama ada Parlimen yang lebih kukuh akan menyukarkan pentadbiran Kerajaan.
Jawapannya ialah Kerajaan yang baik seharusnya mengalu-alukan Parlimen yang lebih kukuh.
Penelitian yang berkesan tidak semestinya menghalang pentadbiran Kerajaan; sebaliknya, penelitian tersebut boleh menambah baik pentadbiran itu.
Sebagai contoh, seseorang menteri yang mengetahui bahawa sesuatu
rang undang-undang akan diteliti secara menyeluruh terdorong untuk
memastikan penggubalan undang-undang yang lebih baik.
Begitu juga, sesebuah kementerian yang dasarnya diteliti oleh Parlimen berdasarkan bukti akan terdorong untuk menambah baik proses pembentukan
dasarnya.
Kerajaan yang perbelanjaannya diteliti dengan rapi pula akan terdorong untuk memperuntukkan wang awam dengan lebih cekap.
Dalam konteks ini, penelitian Parlimen bukan penghalang kepada pentadbiran Kerajaan yang berkesan, sebaliknya merupakan salah satu mekanisme yang memelihara keberkesanannya.
Ujian sebenar ialah sama ada Perkhidmatan Parlimen berkembang menjadi sebuah institusi profesional yang mampu menyokong tugas Parlimen untuk generasi yang akan datang.
Rakyat Malaysia tidak seharusnya berinteraksi dengan Parlimen hanya apabila pilihan raya semakin hampir.
Parlimen berkhidmat untuk mereka setiap hari. Reformasi mesti kekal melangkaui perubahan politik.
Barangkali ujian terbesar reformasi ini bukan ketika keadaan politik Parlimen stabil, tetapi apabila keadaan politik berubah.
Kerajaan silih berganti. Gabungan politik berubah. Parti pembangkang berubah. Ahli Parlimen silih berganti. Namun, institusi Parlimen kekal.
Reformasi institusi hendaklah dirangka supaya berkekalan melangkaui
kitaran politik.
Kerangka Perkhidmatan Parlimen wajar dinilai tanpa dipengaruhi oleh kepentingan pihak yang mendapat manfaat politik pada masa ini.
Kita mesti menilai keberkesanan semasa institusi ini serta keupayaannya untuk memberikan manfaat kepada Malaysia dalam tempoh 20, 30 atau 50 tahun akan datang. Inilah penanda aras sebenar reformasi institusi.
Namun demikian, kebebasan institusi semata-mata tidak menjamin Parlimen yang lebih baik.
Kebebasan mesti meningkatkan keupayaan institusi, yang seterusnya seharusnya menghasilkan penelitian yang lebih menyeluruh.
Penelitian ini pula seharusnya menghasilkan undang- undang dan tadbir urus yang lebih baik.
Akhirnya, tadbir urus yang lebih baik seharusnya membawa hasil yang positif kepada rakyat.
Rangkaian inilah yang mesti menghubungkan Perkhidmatan Parlimen dengan
kehidupan harian rakyat Malaysia.
Oleh itu, kita tidak seharusnya menilai reformasi ini semata-mata berdasarkan pewujudan suatu kerangka pentadbiran baharu.
Kejayaannya mesti diukur berdasarkan sejauh mana Parlimen menjadi lebih profesional, berkesan, telus dan dipercayai, yakni sebuah Parlimen yang benar-benar mewakili rakyat.
Oleh itu, institusi yang menyokong Parlimen mestilah layak memikul amanah rakyat.
Pengwujudan Perkhidmatan Parlimen memberi kita peluang untuk membangunkan institusi sedemikian: sebuah Parlimen yang mampu meneliti tanpa rasa takut, membuat pertimbangan berasaskan bukti, menggubal undang-undang dengan cermat memastikan pihak Eksekutif dipertanggungjawabkan.
Parlimen ini sendiri mesti tertakluk kepada piawaian integriti dan tanggungjawab yang tertinggi.
Sebagai menteri yang bertanggungjawab menyelia reformasi undang-undang dan institusi, saya merakamkan penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas hala tuju dan kepimpinan beliau dalam memacu reformasi ini.
Saya turut mengucapkan terima kasih kepada Yang di-Pertua kedua-dua Dewan Parlimen, anggota Jemaah Menteri, Ahli Parlimen penyokong Kerajaan, Ahli Parlimen Pembangkang, Senator, pegawai Parlimen dan penjawat awam atas sokongan dan sumbangan mereka.
Permulaan kuat kuasa PSA dan pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan pada 1 Oktober 2026 bukan sekadar menandakan perubahan pentadbiran, malah merupakan sebahagian daripada perkembangan demokrasi berperlembagaan Malaysia.
- Datuk Seri Azalina Othman Said ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi).
- Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.