KUALA LUMPUR: Pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia dijangka meningkat lebih kukuh menerusi galakan dasar "blok perdagangan" oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah baik kemudahan pelaburan di negara ini, kata ahli ekonomi.

Profesor ekonomi Sunway University, Yeah Kim Leng berkata, lawatan Perdana Menteri baru-baru ini untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 dan mesyuarat beliau bersama pemimpin korporat utama telah menawarkan Malaysia prospek lebih besar dalam radar pelaburan syarikat terkemuka AS.

"Selain menambah baik tadbir urus, keyakinan pelabur, kestabilan politik dan kepastian dasar, prospek aliran masuk FDI dan swasta yang lebih besar, adalah antara rasional kepada semakan meningkat sasaran pertumbuhan Rancangan Malaysia Ke-12.

"Walaupun ketidaktentuan global semasa yang meningkat pada masa ini mungkin menjejaskan trajektori pertumbuhan lebih tinggi berikutan pendedahan negara yang tinggi terhadap permintaan luaran, ekonomi akan berada pada kedudukan lebih baik untuk bertahan daripada potensi cabaran, terutamanya sekiranya pelbagai langkah dan rancangan untuk memperkukuh kedudukan fiskal dan perlindungan sosial dimulakan pada tahun akan datang," katanya.


Profil lebih tinggi

Yeah berkata, kedatangan Anwar ke UNGA telah meningkatkan profil antarabangsa negara dan mengulangi dasar luar Malaysia yang lebih tegas terutamanya berkaitan isu Palestin.

Selain menegaskan pendirian dasar luar Malaysia, pertemuannya dengan pemimpin korporat dan pelabur utama AS membantu meningkatkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan menggalakkan serta membina semula reputasi antarabangsa yang tercemar berikutan isu 1MDB.

Malah, pertemuan Anwar dengan rakyat Malaysia yang bekerja dan belajar di AS mendorong usaha kerajaan untuk mempromosikan Malaysia dan membantu pembangunan negara.

"Sehubungan itu, misi ini boleh dianggap telah berjaya," kata Yeah.

Bercakap pada sidang akhbar dengan media Malaysia pada akhir lawatan beliau, Anwar berkata, beliau berjaya mengetengahkan pendirian Malaysia berhubung isu global dan meningkatkan profil negara di persada antarabangsa.

Anwar berkata, lawatan itu memberi memberi peluang kepada beliau untuk berkongsi dasar dan aspirasi negara berkaitan hubungan antarabangsa.

"Ternyata hasilnya baik, profil antarabangsa kita telah meningkat. Lanjutan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat, saya berpeluang berkongsi pengalaman serta bertukar pendapat dalam isu-isu global dan berkepentingan bersama," kata Perdana Menteri.


Kemudahan menjalankan perniagaan

Bagaimanapun, Anwar yang membuat penampilan sulung beliau sebagai Perdana Menteri dalam perhimpunan tahunan di New York itu berkata, pihak berkuasa perlu menghapuskan kerenah birokrasi dan menambah baik urusan untuk menjalankan perniagaan berikutan semakin banyak syarikat mengembangkan operasi ke Malaysia atau meningkatkan pelaburan sedia ada mereka.

Mengulas mengenainya, Yeah berkata, usaha yang berterusan bagi mengurangkan kerenah birokrasi dan bebanan kawal selia sudah pasti akan meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai negara pilihan bagi pelabur ikonik seperti Tesla, Amazon dan Boeing, dan pada masa sama mendorong pelabur sedia ada seperti Intel untuk mengembangkan kapasiti pengeluaran dan melabur semula di negara ini.

"Pelaburan yang besar bukan sahaja mampu mengembangkan rantaian bekalan domestik yang akan memberikan manfaat kepada perusahaan besar dan perusahaan kecil dan sederhana, malah memberi kesan limpahan terhadap pelaburan dalam sektor lain ekonomi," katanya.

Profesor Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Geoffrey Williams berkata, mengurangkan kerenah birokrasi dan menambah baik kemudahan menjalankan perniagaan adalah kunci untuk menarik FDI.

Selain itu, katanya, dasar yang jelas dan kurang campur tangan kerajaan adalah apa yang pelabur inginkan, dan pendekatan pragmatik ini telah menarik perhatian syarikat seperti Tesla.

"Bagaimanapun, jika Malaysia terlalu menumpukan kepada isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) terutamanya berhubung alam sekitar, ini mungkin mengurangkan minat para pelabur.

"Pelabur China dan Timur Tengah tidak mengutamakan isu ini. Penekanan kemampanan di bawah kerangka MADANI memberi tumpuan kepada pembangunan sosial terlebih dahulu dan ini memerlukan pertumbuhan ekonomi berbanding isu alam sekitar," katanya.

Williams turut menekankan bahawa kerajaan masih perlu menyelesaikan isu pengambilan pekerja asing dan tadbir urus korporat.

Isu pengambilan pekerja asing boleh diselesaikan menerusi teknologi tempatan yang dihasilkan di negara ini oleh syarikat Malaysia, katanya sambil memaklumkan teknologi ini juga berupaya membantu melindungi pekerja Malaysia dan memudahkan pelabur asing berurusan dari segi pengambilan dan perlindungan pekerja.

"Ini akan mengurangkan kerenah birokrasi dan melindungi pekerja di samping mengurangkan kos agensi dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan. Jadi, teknologi yang dihasilkan di negara ini boleh membantu mengurangkan kerenah birokrasi dan meningkatkan keyakinan pelabur," katanya.

Seorang lagi pakar ekonomi, Manokaran Mottain berkata setelah sekian lama, Perdana Menteri Malaysia kembali meletakkan negara ini di peta dunia, dengan menjelaskan perkara yang sesuai dengan tegas.

"Saya berpendapat Anwar telah mengetengahkan isu penting termasuk menyeru pemimpin dunia untuk menyelesaikan konflik dan krisis kemanusiaan di dunia, dan beliau juga menekankan isu Islamofobia dan mengungkapkan Ekonomi MADANI Malaysia buat pertama kali di AS. Saya berpandangan, walaupun kita mempunyai ekonomi yang kecil, pada hari itu, (kita dilihat berdiri) dengan gah," katanya.

Manokaran yang juga Pengarah Malaysia Venture Capital Management berkata, beliau yakin, pada akhirnya, agensi penarafan akan menyemak semula penarafan negara (kepada prospek yang lebih positif) berikutan keadaan politik yang stabil.

Yeah berkata dengan meningkatkan kedudukan Malaysia dalam kalangan pemimpin global, kehadiran Anwar juga menghantar mesej bahawa negara tidak lagi terganggu dengan masalah politik dalaman dan perubahan kepimpinan, sebaliknya terbuka kepada sesiapa di dunia yang berhasrat terlibat dalam penstrukturan dan perjalanannya untuk tampil dinamik dan menjadi negara berpendapatan tinggi pada masa akan datang. - BERNAMA