PRESIDEN Joe Biden mengumumkan pencalonan semula Jerome Powell sebagai Pengerusi Rizab Persekutuan (The Fed) Amerika Syarikat untuk penggal kedua.

Biden turut memuji dasar monetari di bawah kepimpinan Powell yang disifatkan membina keyakinan dan mencergaskan kembali pasaran buruh.

"Mungkin ada yang mempersoalkan mengapa saya mencalonkan semula Jay (Jerome Powell) memandangkan dia adalah pilihan Presiden daripada Republican.

"Mengapa saya tidak ambil seorang Demokrat atau muka baharu, dan membawa The Fed kepada hala tuju baru?

"Begini, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi ini, kita perlukan kestabilan dan kebebasan di The Fed.

"Jay sudah membuktikan kebebasan dalam membuat keputusan dan saya hargainya.

"Ketika pentadbiran sebelum ini, beliau menolak campur tangan politik dan berjaya mengekalkan integriti dan kredibiliti institusi ini.

"Ini salah satu sebab mengapa Jay dipilih.

Susulan pengumuman itu, pasaran saham Amerika Syarikat ditutup sedikit tinggi pada Isnin.

Indeks Dow Jones meningkat 0.05 peratus namun indeks Nasdaq susut 1.26 peratus. S&P 500 turut susut 0.32 peratus.

Penyusutan Nasdaq berkait rapat dengan sentimen bahawa pengekalan Jerome Powell memberi bayangan The Fed akan mengubah kadar faedah.

Namun bagi S&P 500, meskipun ia susut tetapi kaunter berkait kewangan menokok 1 peratus.