JOHOR BAHRU: Seorang pemuda maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar sebatang pokok berukuran satu meter yang tumbang di Lebuh Raya Pasir Gudang, berhampiran Megah Ria, awal pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang PBT II Nazarudin Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian yang melibatkan mangsa berusia 26 tahun itu pada jam 4.06 pagi.
Susulan itu, seramai enam anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) telah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, pasukan mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125Z telah melanggar pokok berkenaan. Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nazarudin berkata anggota bomba bertindak menjalankan operasi pemotongan dan mengalihkan pokok tersebut menggunakan unit gergaji berantai bagi memastikan laluan kembali selamat.
Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.34 pagi setelah keadaan di lokasi disahkan selamat.
-- BERNAMA