WASHINGTON: Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) menjangka konflik melibatkan Iran akan memberi tekanan tambahan kepada inflasi tahun ini, namun kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi dilihat terhad, sekali gus membolehkan laluan penurunan kadar faedah kekal terbuka seawal 2026.
Dalam mesyuarat terbaharu pada Rabu, pembuat dasar mengekalkan kadar faedah jangka pendek pada sekitar 3.6 peratus, tidak berubah untuk mesyuarat kedua berturut-turut. Fed dalam kenyataannya memaklumkan ketidaktentuan masih menyelubungi kesan perkembangan di Asia Barat terhadap ekonomi Amerika Syarikat.
Advertisement
Walaupun berdepan risiko geopolitik, nada keseluruhan Fed kekal berhati-hati tetapi tidak cemas. Dengan mengekalkan unjuran penurunan kadar faedah seperti yang diumumkan pada Disember lalu, bank pusat itu memberi isyarat bahawa lonjakan harga tenaga akibat konflik berkenaan dijangka bersifat sementara dan tidak menjejaskan trajektori ekonomi secara ketara.
Dalam masa sama, Fed terus melihat pasaran buruh kekal kukuh dengan kadar pengangguran dijangka stabil sehingga hujung tahun, satu unjuran yang lebih optimistik berbanding jangkaan kebanyakan penganalisis.
Bagi inflasi, Fed menjangkakan tekanan harga akan mula reda secara berperingkat, dengan kadar inflasi diunjur turun kepada 2.2 peratus menjelang 2027 sebelum mencapai sasaran jangka panjang 2 peratus pada 2028.
Pengerusinya, Jerome Powell, berkata kenaikan harga minyak dan gas sememangnya akan mendorong inflasi dalam jangka pendek, namun kesan rantaian terhadap ekonomi secara keseluruhan masih belum dapat dipastikan.
“Ekonomi Amerika Syarikat masih berada pada landasan yang baik, tetapi dalam keadaan semasa, tahap ketidaktentuan itu tinggi dan tiada siapa benar-benar tahu sejauh mana impaknya,” katanya kepada pemberita.
Dalam perkembangan berasingan, Powell menegaskan beliau tidak berhasrat meninggalkan Fed selagi siasatan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berhubung projek pengubahsuaian bangunan bank pusat itu belum selesai.
Ini susulan keputusan mahkamah minggu lalu yang membatalkan dua sapina terhadap Fed, sekali gus menjejaskan momentum siasatan berkenaan. Bagaimanapun, pendakwa raya Jeannine Pirro dilaporkan akan mengemukakan rayuan.
Tempoh jawatan Powell sebagai pengerusi dijadual berakhir pada 15 Mei, dengan Presiden Donald Trump telah menamakan Kevin Warsh sebagai pengganti. Namun, proses pengesahan di Senat masih tertangguh susulan bantahan beberapa ahli Republikan terhadap siasatan DOJ itu.
Powell turut memaklumkan beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan terus kekal sebagai ahli lembaga Fed bagi melengkapkan penggalnya sebagai gabenor.
Dalam unjuran terkini, Fed menjangka inflasi mencecah 2.7 peratus pada akhir tahun ini, lebih tinggi berbanding unjuran Disember, manakala inflasi teras, yang tidak mengambil kira komponen makanan dan tenaga yang lebih tidak menentu, turut diunjur pada kadar sama, meningkat daripada 2.5 peratus sebelum ini.