Skip to main content

Dunia

EU setuju kenakan sekatan terhadap penduduk Israel di Tebing Barat

71748956701_JeanNoelBarrotFr.jpg
Barrot berkata EU turut meluluskan sekatan terhadap “pemimpin utama Hamas”. - Gambar fail

BRUSSELS: Menteri luar Kesatuan Eropah (EU) pada Isnin bersetuju melaksanakan pusingan baharu sekatan terhadap penduduk Israel dan organisasi yang dituduh menyokong aktiviti penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki, lapor Anadolu Ajansi.

“Sudah diputuskan! Kesatuan Eropah hari ini mengenakan sekatan terhadap organisasi utama Israel yang bersalah kerana menyokong penjajahan ekstremis dan ganas di Tebing Barat, termasuk pemimpin mereka. Tindakan paling serius dan tidak boleh diterima ini mesti dihentikan tanpa berlengah,” kata Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot menerusi platform media sosial X.

Barrot berkata EU turut meluluskan sekatan terhadap “pemimpin utama Hamas”.

“Harapan yang dihidupkan semula Perancis tahun lalu di New York, iaitu dua negara yang diiktiraf dan dihormati hidup bersama secara aman dan selamat, tidak akan kami biarkan digugat sesiapa,” katanya.

Ketua dasar luar EU Kaja Kallas turut mengesahkan keputusan itu dengan berkata menteri luar EU “memberi lampu hijau untuk mengenakan sekatan terhadap penduduk Israel susulan keganasan terhadap rakyat Palestin”.

“Sudah tiba masanya kita beralih daripada kebuntuan kepada tindakan. Ekstremisme dan keganasan ada akibatnya,” katanya menerusi X.

Keputusan itu dibuat ketika menteri luar EU berhimpun di Brussels bagi mesyuarat Majlis Hal Ehwal Luar.

Tebing Barat yang diduduki menyaksikan peningkatan keganasan sejak bermulanya serangan Israel di Semenanjung Gaza pada Oktober 2023 termasuk pembunuhan, penahanan, perobohan rumah dan peluasan penempatan, menurut pegawai Palestin.

Sekurang-kurangnya 1,155 rakyat Palestin terbunuh, kira-kira 11,750 cedera dan hampir 22,000 ditahan di Tebing Barat yang diduduki sejak itu, menurut angka rasmi Palestin.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video