BUSINESS
The Fed, PBOC kekal kadar faedah: Lima impak terhadap pasaran modal Malaysia

Keputusan Fed dan PBOC ini memberikan pelbagai cabaran kepada pasaran modal Malaysia, namun peluang untuk pemulihan jangka panjang tetap ada sekiranya terdapat perubahan dalam dasar monetari global. - Gambar hiasan/DagangNews
KUALA LUMPUR: Keputusan Rizab Persekutuan (Federal Reserve atau Fed) Amerika Syarikat (AS) dan People's Bank of China (PBOC) untuk mengekalkan kadar faedah memberi kesan besar kepada pasaran modal Malaysia.
Menurut Ketua Penyelidikan Pelaburan, UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan, tindakan kedua-dua institusi ini memberi petunjuk bahawa kestabilan ekonomi masih menjadi fokus utama bagi negara-negara besar ini.
Berikut adalah lima implikasi utama yang boleh dijangka dari keputusan ini:
1. Ringgit dijangka terus bergelut tanpa kejatuhan drastikKeputusan Fed untuk mengekalkan kadar faedah tidak memberi kelebihan besar kepada dolar AS, yang membantu mengurangkan tekanan ke atas ringgit.
Namun, keputusan PBOC untuk tidak melonggarkan dasar monetari bermakna Malaysia tidak mendapat sokongan tambahan daripada pemulihan ekonomi China.
Ringgit dijangka kekal dalam jajaran tertentu tanpa pemangkin utama untuk pengukuhan ketara.
2. Aliran keluar dana asing kekal tinggi
"Pelabur asing akan terus berhati-hati dan mengutamakan pasaran lebih stabil seperti bon AS berbanding pasaran ekuiti Malaysia", kata Mohd Sedek.
Ini menyebabkan aliran keluar dana asing dari Bursa Malaysia berterusan, dan selagi kadar faedah AS kekal tinggi, selera pelabur asing terhadap pasaran Malaysia dijangka kekal lemah.
3. Sektor berkaitan eksport menghadapi tekanan
Keputusan PBOC untuk tidak melonggarkan dasar monetari memberi tekanan kepada sektor berkaitan dengan China dan eksport Malaysia.
Sektor perladangan, minyak dan gas, serta teknologi mungkin menghadapi cabaran disebabkan oleh pemulihan ekonomi China lebih perlahan daripada jangkaan.
"Kelembapan dalam ekonomi China boleh mengurangkan permintaan terhadap eksport Malaysia, memberi impak besar kepada sektor-sektor utama kita", jelas beliau.
4. Tekanan ke atas pasaran semikonduktor dan elektronik
Pasaran semikonduktor dan elektronik, yang merupakan antara penyumbang utama kepada eksport Malaysia, juga boleh menghadapi tekanan.
Jika sentimen terhadap pertumbuhan global kekal berhati-hati, sektor ini mungkin mengalami kesukaran untuk menarik permintaan kukuh, berisiko menjejaskan prestasi eksport negara.
5. Indeks FBM KLCI diniagakan dalam jajaran tanpa arah jelas
"Dari sudut teknikal, indeks FBM KLCI mungkin terus diniagakan dalam jajaran tertentu tanpa arah yang jelas, mencerminkan ketidaktentuan pasaran global", kata beliau.
Momentum dagangan kekal lemah dan pasaran memerlukan faktor pemulihan yang lebih kukuh untuk menarik semula minat pelabur.
Walaupun jangka panjang mungkin lebih positif jika China memperkenalkan rangsangan ekonomi atau jika Fed memberi isyarat pemotongan kadar.
Dalam jangka masa terdekat, pasaran saham Malaysia dijangka kekal tidak menentu dengan kecenderungan pergerakan 'sideways'.
Keputusan Fed dan PBOC ini memberikan pelbagai cabaran kepada pasaran modal Malaysia, namun peluang untuk pemulihan jangka panjang tetap ada sekiranya terdapat perubahan dalam dasar monetari global.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI hari ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami