Skip to main content

Sukan

Joe Rogan bimbang Khamzat 'terlalu gopoh' kembali beraksi selepas UFC 328

May 9, 2026; Newark, New Jersey, UNITED STATES; Khamzat Chimaev (red gloves) fights Sean Strickland (blue gloves) during UFC 328 at Prudential Center. Mandatory Credit: John Jones-Imagn Images
Pengulas terkenal UFC, Joe Rogan, meluahkan kebimbangan terhadap keputusan Khamzat Chimaev untuk kembali bertanding terlalu awal selepas aksi sengit di UFC 328 minggu lalu.

PENGULAS terkenal UFC, Joe Rogan, meluahkan kebimbangan terhadap keputusan Khamzat Chimaev untuk kembali bertanding terlalu awal selepas aksi sengit di UFC 328 minggu lalu.

Menurut Rogan, tubuh seorang petarung memerlukan masa pemulihan secukupnya selepas melalui pertarungan lima pusingan berintensiti tinggi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan tekanan fizikal ekstrem seperti yang dialami Chimaev ketika menentang Sean Strickland.

Chimaev dijadual membuat penampilan sulung dalam acara Real American Freestyle (RAF) bulan depan menentang bekas bintang Bellator dan kontroversi MMA, Dillon Danis. Perkembangan itu mengejutkan ramai pihak kerana ia diumumkan hanya beberapa hari selepas kekalahan pertamanya dalam karier profesional MMA.

Dalam episod terbaru podcast The Joe Rogan Experience, Rogan mengakui beliau kurang selesa melihat Chimaev terus kembali ke gelanggang tanpa tempoh rehat yang panjang.

Beliau bimbang gaya gusti agresif yang digunakan dalam pertandingan RAF boleh meningkatkan risiko kecederaan serius terutama pada bahagian lutut dan bahu, apatah lagi Chimaev baru sahaja melalui pertarungan yang dianggap antara aksi paling meletihkan dalam kariernya.

Pada UFC 328 di Newark, New Jersey, Chimaev tewas menerusi keputusan split decision kepada Sean Strickland dalam perebutan kejuaraan middleweight UFC. Kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah miliknya dalam MMA profesional.

Walaupun tewas, ramai pemerhati memuji semangat juang petarung kelahiran Chechnya itu kerana terus memberi tekanan kepada Strickland sepanjang pertarungan. Malah, beberapa media MMA antarabangsa turut berpendapat keputusan pertarungan tersebut terlalu rapat untuk dianggap kemenangan mutlak buat Strickland.

Namun di sebalik pujian itu, kem Chimaev mendedahkan bahawa beliau sebenarnya berdepan masalah serius ketika proses penurunan berat badan sebelum pertarungan. Abangnya, Artur Chimaev, mendakwa tubuh Khamzat “shutdown” akibat tekanan fizikal melampau ketika cuba turun ke had middleweight.

Situasi itu menghidupkan semula perdebatan lama mengenai kemampuan Chimaev untuk terus bersaing dalam divisyen middleweight UFC. Sebelum ini beliau juga pernah terpalit isu gagal mencapai berat badan semasa masih bersaing dalam divisyen welterweight.

Kini, masa depan Chimaev menjadi tanda tanya sama ada beliau akan kekal di middleweight, naik ke light heavyweight, atau memberi fokus sementara kepada RAF.

RAF sendiri semakin mendapat perhatian kerana ia menggabungkan elemen gusti gaya bebas profesional dengan hiburan sukan moden. Chimaev dilihat sebagai antara nama terbesar yang cuba dibawa masuk bagi menaikkan profil organisasi itu.

Menariknya, lawannya Dillon Danis juga bukan nama asing dalam dunia tempur. Bekas rakan latihan Conor McGregor itu lebih dikenali kerana kontroversi media sosial dan perang psikologi berbanding pencapaian dalam MMA. Faktor itu dijangka menjadikan pertembungan mereka lebih panas dari sudut promosi dan perhatian peminat.

Dalam masa sama, kem Chimaev masih menaruh harapan untuk mendapatkan pertarungan ulangan menentang Sean Strickland secepat mungkin. Mereka percaya masalah pemotongan berat badan menjadi faktor utama prestasi Chimaev merosot selepas pusingan pertama di UFC 328.


-- Artikel ini dihasilkan oleh Hilmi Ismail.

Must Watch Video