KUALA LUMPUR:FGV Holdings Bhd (FGV) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2020 kepada RM136.89 juta berbanding kerugian bersih sebanyak RM262.41 juta pada suku sama tahun lepas.

Perolehannya turut meningkat kepada RM3.99 bilion daripada RM3.55 bilion sebelum ini, demikian menurut kenyataan kumpulan itu kepada Bursa Malaysia semalam.

FGV menyifatkan prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan keuntungan sektor perladangan berikutan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) dan caj nilai saksama lebih rendah membabitkan perjanjian pajakan tanah sebanyak RM256.95 juta berbanding RM278.44 juta pada tahun sebelum ini.

Faktor lain adalah peningkatan keuntungan segmen logistik dan sektor lain manakala segmen gula merekodkan kerugian lebih rendah.

Bagi tempoh di bawah kajian itu, purata harga MSM adalah RM2,645 satu tan yang lebih tinggi berbanding purata harga MSM direalisasikan pada suku ketiga 2019 iaitu RM1,983 satu tan, sekali gus menyebabkan peningkatan ketara perolehan kumpulan.

"Saya berbesar hati untuk melaporkan keputusan (kewangan) suku kedua positif berturut-turut untuk kumpulan ini.

"Walaupun pengeluaran MSM adalah sejajar dengan tahap kebangsaan, penghasilan tandan buah segar (TBS) FGV terus melangkaui paras negara yang disumbangkan oleh peningkatan pemulihan tanaman serta kawasan pokok sawit matang yang lebih besar," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Haris Fadzilah Hassan.

Bagi segmen huluan, pengeluaran TBS naik sebanyak sembilan peratus kepada 1.35 juta tan berbanding 1.24 juta tan pada suku ketiga 2019.

Segmen hilirannya bagaimanapun mencatat keuntungan lebih rendah susulan kekurangan permintaan biodiesel akibat pandemik COVID-19 selain sumbangan bahagian lebih rendah membabitkan syarikat-syarikat usaha sama.

Selain itu, penyusutan kerugian sektor gula disebabkan oleh peningkatan perolehan jualan akibat kenaikan jumlah dagangan dalam segmen industri serta premium eksport lebih tinggi.

"Sebahagian daripada peningkatan sektor gula itu ditampung oleh pelupusan serta rosot nilai tanaman akibat kebakaran di Chuping, Perlis serta perubahan rawatan membabitkan aset sama akibat pembatalan jualan," kata Haris Fadzilah.

Bagi perniagaan logistik, FGV mencatat penyusutan sebanyak 12 peratus akibat jumlah pukal lebih rendah dan ditampung oleh peningkatan jumlah pengangkutan bagi barangan pengguna cepat laris (FMCG).

Jumlah pengangkutan pula meningkat dua peratus susulan pertambahan tan kargo manakala jumlah pukal berkurangan sebanyak lima peratus akibat penurunan membabitkan pelanggan utama serta biodiesel yang dikendalikan.

Bagi kemajuan masa depan, FGV berkata rancangan strategiknya menyasarkan peningkatan pertumbuhan dan memperkukuh aktiviti perniagaan dengan nilai tambah membabitkan perladangan bersepadu serta pergerakan FMCG yang berpotensi menyumbang hasil dengan lebih pantas.

"Merujuk sektor perladangan, FGV menjangkakan penghasilan TBS dan MSM pada suku keempat 2020 akan terjejas akibat ketidaktentuan cuaca dan pelaksanaan perintah kawalan di Sabah. Harga MSM pula kekal kukuh sehingga akhir tahun ini," katanya.

-- BERNAMA