Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mencatatkan kerugian sebelum cukai kecil sebanyak RM31.66 juta dalam suku pertama yang berakhir 31 Mac, 2017, berbanding kerugian RM82.193 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Hasil, bagaimanapun, meningkat 15 peratus kepada RM4.32 bilion daripada RM3.76 bilion sebelumnya disumbang oleh pendapatan tinggi daripada sektor perladangan, logistik dan lain-lain dan gula masing-masing sebanyak 11 peratus, 57 peratus dan 17 peratus, berbanding tempoh yang sama tahun lepas, kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

FGV juga merekodkan keuntungan selepas cukai dan faedah minoriti (PATAMI) sebanyak RM2.47 juta, mencatatkan penambahbaikan RM83.5 juta, daripada kerugian selepas cukai dan faedah minoriti (LATAMI) RM81 juta bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Zakaria Arshad berkata hasil tinggi yang dicatatkan oleh syarikat itu dalam suku tersebut adalah berikutan prestasi operasi huluan yang bertambah baik, mencatatkan peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) 16 peratus tahun ke tahun yang membawa kepada penurunan lima peratus kos pengeluaran (harga di kilang) kepada RM1,739 setan metrik.

"Juga perlu diberi perhatian adalah kami mengurangkan perbelanjaan pentadbiran kami sebanyak 15 peratus," katanya.

Pada masa hadapan, Zakaria menjangka harga purata MSM turun sedikit dengan peningkatan pengeluaran tandan buah segar (FFB) dari Malaysia dan Indonesia dalam bulan-bulan akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata keseluruhan pengeluaran Malaysia tahun ini diunjurkan rendah berbanding 2015, memandangkan kekurangan buruh, yang boleh menyederhanakan prospek harga MSM.

FGV kekal menumpukan untuk mengembangkan lagi perniagaan terasnya dan meningkatkan kecekapan operasi, katanya, sambil menambah harga purata MSM dijangka berada sekitar RM2,550 setan metrik dan RM2,750 setan metrik bagi separuh pertama 2017.

Mengenai perniagaan hilirannya, FGV akan terus membangunkan pasaran destinasi utama seperti India, China dan Timur Tengah serta Utara Afrika.

"Kami sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan perkongsian strategik yang sinergetik dari segi komersial dan memberi nilai positif kepada pemegang saham kami," kata Zakaria.

Bagi sektor gula, syarikat itu akan terus berbincang dengan kerajaan dan memaklumkan perkembangan terkini kepada mereka tentang turun naik pasaran gula dunia dan berharap memperoleh hasil yang memberangsangkan.

"Meskipun kekurangan buruh dijangka membawa kesan kepada keseluruhan industri minyak sawit Malaysia, FGV terus proaktif dalam mendapatkan bekalan buruh bagi operasi kami selain meningkatkan mekanisme proses estet.

"Kami akan terus berdaya tahan menghadapi cabaran ini," katanya.

-- BERNAMA