SINGAPURA: Firefly telah melanjutkan pembatalan penerbangan berjadual antara Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang dan Lapangan Terbang Seletar di Singapura hingga 14 Okt ekoran cuaca dan keadaan jerebu semasa.
Syarikat penerbangan tambang murah itu, yang merupakan anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, sebelum ini telah membatalkan semua penerbangan antara Subang dan Seletar dari 10 hingga 12 Okt sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan.
Dalam satu nasihat perjalanan, syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa pembatalan itu melibatkan enam perkhidmatan harian: FY3122 dan FY3123, FY3124 dan FY3125, FY3126 dan FY3127, FY3128 dan FY3129, FY3130 dan FY3131, serta FY3132 dan FY3133.
“Penumpang yang terjejas sedang dihubungi dan diaturkan semula ke perkhidmatan Malaysia Airlines yang sedia ada menerusi laluan Kuala Lumpur-Singapura, tertakluk kepada kekosongan tempat duduk.
Penumpang yang memilih untuk tidak meneruskan penerbangan yang diaturkan semula itu layak mendapat pemulangan wang penuh, yang akan dikreditkan kembali ke kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari bekerja,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Sementara itu, kualiti udara di Singapura kekal pada tahap tidak sihat pada Isnin, dengan Indeks Piawaian Pencemar (PSI) 24 jam mencatatkan julat antara 118 hingga 155 setakat 7 malam, menurut Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA).
Bacaan PSI berada pada 155 di kawasan tengah dan barat, 139 di timur, 122 di selatan dan 118 di utara.
-- BERNAMA