KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research mengekalkan pandangannya mengenai kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada mesyuarat terakhir Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) tahun ini pada November, sekali gus menyaksikan kadar faedah kekal pada 2.50 peratus.

Bagaimanapun, bagi 2023, firma pembrokeran itu mengunjurkan dua kenaikan 25 mata asas yang menjadikan OPR pada 3.00 peratus.

Pada masa sama, ia juga tidak menjangkakan keadaan global yang lebih baik pada masa akan datang berikutan faktor termasuk Amerika Syarikat (AS) yang berkemungkinan mencatat ekonomi lebih perlahan susulan pelaksanaan beberapa siri kenaikan kadar faedah.

Selain itu, krisis tenaga di Eropah dijangka menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) mengalami kemelesetan manakala ketidaktentuan pasaran hartanah China pula hanya memaparkan sebahagian kecil daripada masalah sebenar.

"Ini menjadikan dorongan terhadap pertumbuhan ekonomi Malaysia akan bergantung sepenuhnya ke atas ekonomi domestik dengan pemangkin utama kekal terhad kepada pemulihan sektor pelancongan dan faktor yang boleh menaikkan permintaan," kata CGS-CIMB Research dalam nota tinjauannya hari ini.

Pada Khamis, BNM menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus yang merupakan kenaikan ketiga berturut-turut bagi tahun ini.

Bagi pengeksport, CGS-CIMB Research menyifatkan impak kelemahan ringgit adalah terhad berikutan kadar pertukaran efektif nominal -- indeks wajaran perdagangan tukaan asing, memaparkan peningkatan kecil setakat tahun ini.

Peningkatan ketara dolar AS telah menyebabkan ringgit susut sejak minggu lepas walaupun pasaran sememangnya telah menjangkakan kenaikan OPR.

Firma pembrokeran itu berpendapat bahawa perbandingan dolar AS/ringgit kekal dalam keadaan tidak menentu yang menyebabkannya menyemak semula unjuran pada akhir 2022 kepada 4.60 daripada 4.25, didorong terutamanya oleh faktor seperti jangkaan lebihan dagangan yang lemah susulan penurunan harga komoditi selain impak daripada perkembangan di China.

Sementara itu, Kenanga Research yang juga cabang penyelidikan Kenanga Investment Bank, pula berpendapat bahawa BNM akan kekal dengan pendirian menaikkan kadar faedah yang seiring dengan aliran kadar global bagi menangani inflasi.

Berikutan itu, ia menjangkakan BNM akan menaikkan 25 mata asas lagi pada mesyuarat seterusnya MPC yang menjadikan OPR pada 2.75 peratus.

Menurutnya, kenaikan inflasi dan pemulihan yang berkekalan dalam permintan domestik akan terus mempengaruhi serta mendorong sebarang keputusan dasar BNM.

"Kami kekal dengan unjuran bahawa pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar untuk suku ketiga 2022 pada 8.8 peratus, susut sedikit daripada 8.9 peratus pada suku kedua tahun ini.

"Ini juga diunjur menyederhana secara ketara kepada 0.5 peratus dalam suku keempat, didorong oleh permintaan global yang lemah akibat sekatan pergerakan berterusan di China akibat COVID-19 dan kemungkinan berlakunya kemelesetan di zon euro dan AS," katanya.

Atas alasan itu, Kenanga berkata BNM mungkin mengehadkan tindakan memperketat dasar monetari dan memberi andaian 50:50 terhadap kemungkinan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari tahun depan.

-- BERNAMA