KUALA LUMPUR: Pusat Kecemerlangan Digital BRICS bagi Grid Pintar dan Penyimpanan Tenaga (BRICS DCoE) dilancarkan secara rasmi pada Khamis sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga BRICS ke-11 di Gurugram, India, lapor TV BRICS memetik agensi berita Asian News International (ANI).
Menteri Kuasa India, Manohar Lal Khattar berkata penubuhan pusat berkenaan merupakan satu langkah penting dalam pembangunan kerjasama tenaga antara negara-negara anggota BRICS.
"Pelancaran pusat ini mencerminkan komitmen bersama kami untuk memperkukuh kerjasama, mempromosikan inovasi serta mewujudkan sistem tenaga yang boleh dipercayai dan kalis masa hadapan," kata Khattar.
BRICS DCoE direka bagi memudahkan pertukaran pengetahuan dan amalan terbaik, meningkatkan kemahiran pakar, melaksanakan projek bersama serta memperkukuh kerjasama teknikal antara negara anggota blok berkenaan.
Beliau berkata sumber tenaga boleh baharu kini menjadi elemen utama dalam transformasi sektor berkenaan.
Menurutnya, grid tenaga masa hadapan akan menguruskan permintaan dalam masa nyata, menyepadukan jumlah tenaga boleh baharu berskala besar, memanfaatkan sistem penyimpanan tenaga dan memperkasa pengguna melalui teknologi digital.
Khattar berkata India kini sedang pesat memperkukuh kedudukannya dalam peralihan tenaga global dan sudah pun berada dalam kalangan peneraju dunia bagi pembangunan tenaga suria dan angin.
Menurut menteri itu, India sedang melaksanakan antara program pengenalan meter pintar terbesar di dunia bagi mempercepat pendigitalan sektor tenaga serta meningkatkan kecekapan grid.
Negara berkenaan juga merancang untuk membangunkan kira-kira 100 gigawatt (GW) kapasiti hidroelektrik storan dipam daripada keseluruhan potensi sebanyak 260 GW, selain menyasarkan penubuhan kira-kira 80 GW sistem penyimpanan tenaga melalui bateri.
Agenda tenaga India sepanjang memegang jawatan Pengerusi BRICS memberi tumpuan kepada tiga bidang utama: keselamatan dan kemampanan tenaga, akses tenaga serta pengagihan saksama, dan pembangunan teknologi serta inovasi.
-- BERNAMA