BISNES
Firma penyelidikan naik unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kepada 4.2-4.3 peratus

Maybank Investment Bank menekankan bahawa semikonduktor merupakan eksport utama Malaysia ke AS, yang pada masa ini dikecualikan daripada tarif timbal balik. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Firma penyelidikan menaikkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 kepada 4.2 peratus dan 4.3 peratus berikutan pengembangannya sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025 (S2 2025).
Ringkasan AI
- Firma penyelidikan seperti MBSB dan Maybank Investment Bank menaikkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia 2025 masing-masing kepada 4.3 peratus dan 4.2 peratus, susulan pertumbuhan kukuh sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama tahun ini.
- Walaupun eksport komoditi merosot dan terdapat risiko daripada tarif AS ke atas semikonduktor, pertumbuhan disokong oleh permintaan domestik, langkah fiskal tambahan, pemotongan OPR dan peningkatan pendapatan isi rumah.
- Prospek pelaburan kekal positif melalui pelaburan swasta yang diluluskan sejak 2021, pelaburan berkaitan kerajaan, projek infrastruktur utama dan inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
"Namun, kami tetap berpendapat pada tarif yang lebih tinggi, walaupun lebih rendah daripada yang diumumkan sebelum ini, ia masih menjejaskan permintaan luar khususnya dari Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Bank pelaburan itu juga menjangkakan terdapat lebih banyak sokongan untuk pertumbuhan pada separuh kedua 2025 daripada langkah rangsangan awal melalui pemotongan kadar dasar semalaman (OPR) dan langkah fiskal tambahan yang diumumkan bulan lalu.
"Walaupun permintaan domestik akan memastikan pertumbuhan yang mampan pada masa hadapan, risiko penurunan masih kekal khususnya daripada ketidaktentuan luaran, permintaan yang lebih lemah daripada pasaran-pasaran utama dan kemungkinan tekanan harga yang lebih tinggi akibat perubahan dasar.
"Dari segi perdagangan, walaupun Malaysia telah memuktamadkan perjanjian dengan AS, prospek perdagangan masih kekal tidak menentu kerana AS menunjukkan rancangan untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas industri semikonduktor, mewujudkan satu lagi risiko penurunan memandangkan sektor itu menyumbang bahagian terbesar perdagangan Malaysia dengan AS," tambahnya.
Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikannya telah menaikkan sedikit unjuran pertumbuhan KDNK benar 2025 kepada 4.2 peratus daripada 4.1 peratus, berikutan pertumbuhan separuh pertama 2025 sebanyak 4.4 peratus dan pertumbuhan S2 2025 yang ketara kukuh.
Bank pelaburan itu juga mengubah suai unjuran pertumbuhan 2026 kepada 4.1 peratus daripada 4.2 peratus berikutan perubahan kepada unjuran bagi 2025.
Ia berkata naratif mengenai dinamik pertumbuhan masih lagi berasaskan kepada "dorongan domestik berbanding halangan luaran".
"Halangan luaran terhadap pertumbuhan masih kekal walaupun terdapat penjelasan mengenai tarif timbal balik AS ke atas rakan dagangnya, dengan kadar muktamad 19 peratus untuk Malaysia.
"Ini (juga) disebabkan ketidaktentuan mengenai tarif khusus produk oleh AS, khususnya tarif semikonduktor," katanya.
Bank pelaburan itu menekankan bahawa semikonduktor merupakan eksport utama Malaysia ke AS, yang pada masa ini dikecualikan daripada tarif timbal balik.
"Secara positifnya, terdapat faktor sokongan domestik yang mengekalkan ekonomi pada landasan pertumbuhan.
"Perbelanjaan pengguna disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang mencerminkan keadaan pasaran kerja yang menggalakkan, langkah peningkatan pendapatan seperti kenaikan gaji minimum, pemotongan OPR sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan langkah tambahan mesra pengguna (yang diumumkan pada 23 Julai, 2025)," katanya.
Maybank Investment berkata kitaran peningkatan pelaburan disokong oleh realisasi berterusan pelaburan swasta diluluskan sejak 2021, pelaburan langsung domestik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, kemajuan dalam projek infrastruktur utama dan kesan inisiatif strategik seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.
Jumaat lalu, BNM mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 4.4 peratus pada S2 2025, bersamaan dengan pertumbuhan 4.4 peratus bagi separuh pertama 2025, didorong oleh permintaan domestik yang teguh berikutan perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami