NEW YORK: Pihak berkuasa kewangan Amerika Syarikat menyita First Republic Bank dan menjual keseluruhan deposit serta sebahagian asetnya kepada JPMorgan Chase Bank.

Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC) berkata, tindakan itu untuk menyelamatkan industri perbankan dan kewangan republik tersebut.

Setakat 13 April, First Bank Republic disenaraikan oleh FDIC sebagai bank komersial ke-14 terbesar di Amerika Syarikat, dengan aset bernilai USD229 bilion dan jumlah deposit sebanyak USD104 bilion.

Bank yang berpengkalan di San Francisco itu pernah berdiri setaraf Silicon Valley Bank, memandangkan First Republic Bank memberi perkhidmatan kepada pelanggan berprofil tinggi termasuk kepada Ketua Pegawai Eksekutif Meta Platforms, Mark Zuckerberg.

First Republic Bank juga pernah mencatat kejayaan memberansangkan dengan keupayaannya mengembangkan aset dua kali ganda daripada USD102 bilion pada suku pertama tahun 2019.

Namun, seperti Silicon Valley Bank dan Signature Bank, majoriti deposit yang bernilai lebih USD250,000 yang diraih oleh First Republic Bank tidak diinsuranskan sekali gus mencetuskan kebimbangan pendeposit mengenai risiko bank tersebut gagal bertahan, maka pendeposit berkemungkinan besar akan kehilangan semua wang mereka.

Kebimbangan itu memuncak apabila bank tersebut melaporkan pendeposit telah mengeluarkan lebih USD100 bilion daripada simpanan semasa krisis bank Amerika Syarikat yang berlaku sepanjang April lalu.
Buat masa ini, kesemua 84 cawangan First Republic Bank di lapan negeri seluruh Amerika Syarikat akan dibuka pada Isnin sebagai JPMorgan Chase Bank.

First Republic Bank mengumumkan pelan untuk meratifikasi krisis berbangkit dengan menjual aset tidak menguntungkan, menjual hutang berfaedah rendah yang dikeluarkan serta menghentikan 7,200 pekerjanya menjelang akhir 2022.

Pengumuman itu disambut dengan sentimen skeptikal oleh pelabur, yang merujuk kepada pengalaman Citigroup Bank dan Bank of America yang memerlukan masa yang panjang untuk pulih daripada krisis kewangan pada 2008.

Dakwaan itu mempunyai pemberat tersendiri, memandangkan kedua-dua bank tersebut mempunyai keupayaan untuk pulih dengan bantuan kerajaan namun bantuan yang sama tidak semestinya berjaya diperoleh First Republic Bank.