CYBERJAYA: Ekosistem inovasi digital Malaysia menerima suntikan baharu apabila Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) mengumumkan Futurise Sdn Bhd akan beralih daripada anak syarikat Cyberview Sdn Bhd untuk disepadukan di bawah MDEC.
Peralihan strategik ini dijangka mempercepat pembangunan inovasi yang memberi impak langsung kepada masyarakat melalui struktur tadbir urus yang lebih terselaras dan bersepadu.
Advertisement
Langkah tersebut mencerminkan usaha kerajaan menyatukan aset inovasi negara bagi membina enjin digital yang lebih kukuh, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan dasar serta mempercepat penerapan teknologi baharu dalam kehidupan harian rakyat.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, penyelarasan ini mewujudkan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam memacu kemajuan digital negara.
“Langkah ini menyelaraskan aset inovasi utama negara di bawah MDEC sebagai sebahagian daripada pendekatan seluruh kerajaan ke arah kemajuan digital.
“Dengan mengintegrasikan mandat Futurise di bawah MDEC, kita mewujudkan enjin yang lebih padu dan berkuasa untuk inovasi, keanjalan kawal selia serta inisiatif digital berimpak tinggi,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.
Beliau menambah, Futurise akan terus menerajui National Regulatory Sandbox (NRS), memacu kemudahan urusan perniagaan serta mempercepat penyelidikan yang diterajui industri dan inovasi sosial dengan skala dan penyelarasan di peringkat nasional yang lebih kukuh.
“Futurise akan terus menerajui National Regulatory Sandbox (NRS), memacu kemudahan menjalankan perniagaan serta mempercepat penyelidikan yang dipimpin industri dan inovasi masyarakat, dengan keupayaan peluasan dan penyelarasan nasional yang dipertingkat,” tambahnya.
Di bawah naungan MDEC, Futurise dijangka memperkukuh peranannya sebagai pemangkin strategik inovasi melalui pemodenan kawal selia, nasihat dasar dan pembangunan teknologi generasi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), sejajar aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai negara peneraju AI menjelang 2030.
Perluasan NRS pula akan menyediakan persekitaran ujian yang lebih mantap dan terkawal bagi penyelesaian berasaskan teknologi, sekali gus mempererat kerjasama industri serta membantu kerajaan menilai dan mengguna pakai inovasi yang memberi manfaat kepada rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Anuar Fariz Fadzil menyifatkan penyertaan Futurise sebagai titik penting dalam penyatuan keupayaan inovasi negara.
“Menyatukan Futurise ke dalam MDEC merupakan langkah penting dalam memperkukuh keupayaan inovasi Malaysia.
“Kepakaran Futurise dalam pengurusan sandbox kawal selia akan meningkatkan inisiatif strategik kami dengan ketara serta menyokong kerjasama lebih rapat dengan kementerian dan peneraju industri untuk mengkomersialkan teknologi baharu,” jelasnya.
Menurutnya, Futurise akan terus berfungsi sebagai badan penasihat dasar utama dalam membangunkan rangka kerja kawal selia progresif bagi memastikan ekonomi digital Malaysia kekal berdaya saing dan mesra inovator.
“Futurise akan terus berperanan sebagai badan penasihat dasar utama dalam membangunkan rangka kerja kawal selia progresif untuk memastikan ekonomi digital Malaysia kekal relevan pada masa hadapan serta mengurangkan halangan kepada inovator,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview, Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata Futurise yang dibangunkan melalui mandat Cyberview di Cyberjaya kini berkembang menjadi aset inovasi nasional.
“Futurise lahir daripada mandat Cyberview untuk menyemai masa depan melalui Cyberjaya sebagai hab teknologi global.
“Apabila Futurise beralih ke MDEC, kami melihat sebuah syarikat permulaan yang kami bangunkan kini matang menjadi aset nasional, sekali gus mencerminkan pendekatan seluruh kerajaan,” katanya.
Secara keseluruhan, penyatuan ini bukan sekadar perubahan struktur organisasi, tetapi mencerminkan komitmen negara untuk membina ekosistem digital yang lebih tangkas, inklusif dan berfokus masa depan.