BISNES
Gamuda kemuka tawaran tertinggi S$1.01 bilion projek pembangunan bercampur di Singapura

Gamuda berkata ia akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja menerima surat penerimaan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
KUALA LUMPUR: Gamuda Bhd mengumumkan anak syarikatnya di Singapura, Gamuda (Singapore) Pte Ltd, bersama rakan usaha sama Evia MCS Pte Ltd dan H108 Pte Ltd, telah mengemukakan tawaran tertinggi berjumlah SG$1.01 bilion (kira-kira RM3.33 bilion) bagi tanah pajakan seluas 7.28 ekar di Chencharu Close, Singapura.
Tapak tersebut diperuntukkan bagi pembangunan bercampur komersial dan kediaman.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Gamuda berkata keputusan itu diumumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Singapura selepas tender ditutup pada 11 September 2025.
Ini merupakan kejayaan kedua melibatkan syarikat Malaysia dalam minggu sama, selepas Sunway Bhd dan rakan usahanya di Singapura berjaya memperoleh tapak kediaman di Chuan Grove dengan tawaran tertinggi berjumlah S$623.91 juta (RM2.05 bilion).Gamuda berkata ia akan membuat pengumuman lanjut sebaik sahaja menerima surat penerimaan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).
Plot pegangan pajakan seluas 317,000 kaki persegi itu terletak di Chencharu Close, Yishun, sebuah kawasan perbandaran yang semakin mendapat perhatian untuk pembangunan semula kerana tahap keterhubungan dan potensi pertumbuhannya.
Terdahulu dilaporkan pembangunan di tapak tersebut bakal merangkumi unit kediaman persendirian sebagai komponen utama, selain turut disertakan dengan ruang komersial dan kemudahan komuniti.
Kejayaan Gamuda ini hadir hanya sehari selepas Sunway Bhd bersama rakan kongsinya yang disenaraikan di Singapura, Sing Holdings Ltd, memenangi satu lagi tapak kediaman di Chuan Grove selepas mengemukakan bidaan terbaik berjumlah S$623.91 juta (RM2.05 bilion).
Kemenangan tersebut merupakan yang kedua bagi usaha sama 35:65 antara Sunway dan Sing Holdings di Chuan Grove, selepas memperoleh sebidang tanah bersebelahan pada Julai lalu dengan harga S$703.6 juta. Ini menjadikan jumlah harga pembelian kedua-dua plot tanah tersebut kira-kira S$1.33 bilion.
Awal tahun ini, IOI Properties Group Bhd memeterai perjanjian untuk memperoleh baki 50.1% pegangan dalam pembangunan South Beach di Singapura daripada City Developments Ltd dengan nilai RM2.75 bilion (S$834.22 juta). Pemaju tersebut kini memiliki sepenuhnya aset bercampur berprofil tinggi berkenaan.
Saham Gamuda ditutup lima sen atau 0.89% lebih rendah pada RM5.55 pada Khamis, menjadikan syarikat pembinaan itu bernilai RM32.21 bilion. Sunway kekal tidak berubah pada RM5.29 dengan permodalan pasaran RM33.17 bilion. IOI Properties pula naik enam sen atau 2.83% kepada RM2.18, memberikan syarikat itu nilai pasaran sebanyak RM12.0 bilion. - DagangNews.com
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami