ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menyasarkan peningkatan berganda pengunjung ke Pulau Langkawi susulan pelaksanaan Gelembung Pelancong Bersasar selepas pulau peranginan itu bertukar status kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), 10 Mac lalu.

Menurut Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyatakan kelonggaran yang diberikan kerajaan itu mampu menjadi platform terbaik dalam membantu menghidupkan semula sektor pelancongan di pulau peranginan berkenaan yang 'hampir mati' akibat penguatkuasaan beberapa perintah kawalan pergerakan.

Jelasnya, kerajaan negeri Kedah juga akan melaksanakan beberapa inisiatif dalam membantu pemain industri pelancongan di Langkawi memandangkan lebih 80 peratus rakyat di pulau itu hanya bergantung kepada sektor berkenaan.

Antara yang akan dilaksanakan adalah pemberian bantuan tunai secara 'one-off' kepada pemain industri terlibat yang mana membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM270,000, selain meningkatkan promosi produk-produk pelancongan di Langkawi.

"Penduduk di negeri (yang dilaksanakan) PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) boleh datang ke Langkawi. Ini merupakan satu kelegaan besar penduduk khususnya pemain industri pelancongan di Langkawi.

"Kerajaan negeri telah meluluskan bantuan 'one-off' kepada sektor pelancongan, dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM270,000," beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Pelancaran Filem 'The Puppet Master-Trilogy' di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar, pada Isnin.

Dalam perkembangan sama, Sanusi turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pusat dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana memberi kebenaran membuka semula sektor pelancongan di Langkawi.

Terdahulu, pihak Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd mengambil keputusan untuk menambah kadar kekerapan perjalanan feri membabitkan perjalanan dua hala antara Kuala Kedah-Langkawi dan Kuala Perlis-Langkawi, susulan penguatkuasaan gelembung pelancongan bersasar yang dilaksanakan kerajaan bermula 10 Mac lalu.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi konsortium, Kapten Baharin Baharom, menyatakan bahawa pihaknya juga sentiasa bersedia untuk menambah lebih banyak perjalanan terutama pada hujung minggu dan hari cuti umum jika terdapat permintaan daripada orang ramai.

Berdasarkan rekod kemasukan pelancong ke Langkawi menggunakan feri adalah sebanyak 45,393 individu bermula 1 Mac sehingga 13 Mac lalu.

Jumlah itu merupakan peningkatan sekali ganda berbanding yang dicatatkan sepanjang bulan Fenruari iaitu hanya 26,725 individu.