KUALA LUMPUR: Genting Berhad akan mencari peluang pelaburan baharu bagi melengkapkan perniagaan sedia ada bagi membolehkan mereka berkembang sejajar dengan pemulihan ekonomi global.

Pengerusi dan Ketua Eksekutifnya, Tan Sri Lim Kok Thay berkata, pihaknya akan memantau rapat persekitaran perniagaan dan mengambil langkah proaktif untuk mengukuhkan perniagaannya.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19, kumpulan itu berjaya membuktikan keupayaan untuk beroperasi dengan cekap dan menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.

"Pemulihan ekonomi global daripada wabak kesihatan ini dijangka berterusan, disokong oleh kemajuan program vaksinasi seluruh dunia dan kelonggaran langkah pembendungan apabila virus COVID-19 menjadi endemik.

"Bagaimanapun masih ada risiko yang akan mengganggu pertumbuhan global seperti evolusi varian COVID-19, krisis geopolitik, gangguan rantaian bekalan berterusan, peningkatan harga bahan api dan risiko inflasi," katanya dalam Laporan Tahunan Genting 2021, pada Jumaat, lapor Berita Harian.

Kok Thay berkata, kumpulan itu sentiasa menggalakkan pendekatan berdisiplin dalam menguruskan peruntukan modal dan strategi kepelbagaian perniagaan bagi membolehkan mereka mengharungi kesan akibat pandemik.

Beliau berkata, Genting Malaysia berjaya mengumpul AS$1.0 bilion (RM4.22 bilon) melalui penerbitan bon sulung dalam denominasi dolar Amerika Syarikat (AS) pada April 2021 bagi membiayai semula hutang selain modal kerja dan bagi tujuan korporat am.

"Lembaga Pengarah menyedari keperluan untuk mencapai keseimbangan antara memberi ganjaran kepada pemegang saham melalui pengagihan dividen di masa yang amat mencabar bagi perniagaan dengan pengekalan sumber untuk menyokong strategi pertumbuhan jangka masa panjang.

"Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen peringkat interim sebanyak 11.0 sen sesaham biasa pada 2021," katanya.

Pada 2021, prestasi Genting secara keseluruhan bertambah baik terutamanya berikutan prestasi bahagian keriadahan dan hospitaliti serta bahagian perladangan yang lebih baik.

Kumpulan itu telah mencatatkan pendapatan RM13.5 bilion pada 2021, penambahan sebanyak 17 peratus tahun-ke-tahun, sementara pendapatan terlaras sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA diselaraskan) iaitu satu penunjuk prestasi operasinya ialah RM4.0 bilion pada 2021, penambahan sebanyak 38 peratus tahun-ke-tahun.

Kerugian bersihnya telah menurun dengan berjumlah RM1.4 bilion pada 2021 berbanding RM2.1 bilion pada tahun kewangan sebelumnya. - DagangNews.com