KUALA LUMPUR: Genting Plantations Bhd mencatatkan keuntungan bersih tinggi sebanyak RM471.42 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 31 Dis, 2022 berbanding RM432.22 juta yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Hasil meningkat sedikit kepada RM3.19 bilion daripada RM3.13 bilion sebelumnya, disokong oleh harga produk sawit yang tinggi walaupun diimbangi oleh volum jualan rendah produk sawit ditapis, kata syarikat itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu.

Bagaimanapun, bagi suku keempat berakhir pada 31 Dis, 2022, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM55.86 juta daripada RM161.64 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil jatuh kepada RM791.19 juta daripada RM1.07 bilion.

"Pengeluaran tandan buah segar (FFB) bagi Tahun Kewangan 2022 susut sedikit berikutan gangguan dalam aktiviti penuaian dan logistik yang disebabkan oleh kadar hujan tinggi dan kawasan penuaian rendah di Malaysia ekoran aktiviti penanaman semula pada tahun itu.

"Kumpulan mencapai harga minyak sawit mentah dan isirung sawit yang tinggi masing-masing pada RM4,100 setan metrik dan RM2,784 setan metrik pada Tahun Kewangan 2022," katanya.

Mengenai prospek bagi 2023, Genting Plantations berkata ia akan memantau segmen perladangan utamanya yang seterusnya akan bergantung kepada pergerakan harga produk sawit dan pengeluaran FFB.

"Bagi 2023, kumpulan menjangkakan pengeluaran FFB yang bertambah baik didorong oleh tambahan kawasan penuaian dan kemajuan kawasan matang sedia ada yang membawa kepada hasil pulangan tinggi di Indonesia," katanya.

Kumpulan itu mengisytiharkan dividen akhir 4.0 sen sesaham biasa bagi Tahun Kewangan 2022 dan dividen khas 15.0 sen sesaham biasa.

-- BERNAMA