PUTRAJAYA: Status kelulusan pembayaran Geran Khas Prihatin (GKP) 4.0 boleh mula disemak mulai Isnin ini (20 September), kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Mohd Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Melalui perkongsian terbaharu di Facebooknya, Tengku Zafrul berkata, semakan itu boleh dilakukan di portal GKP (https://gkp.hasil.gov.my).

Jelasnya lagi, pembayaran berjumlah RM1,000 itu akan dilakukan secara dua peringkat iaitu RM500 pada September manakala baki sebanyak RM500 lagi dilunaskan pada bulan November depan.

“Sukacita dimaklumkan bahawa lebih satu juta PKS mikro melibatkan penerima sedia ada GKP 1,2,3 dan penerima baharu GKP 4.0, akan menerima bayaran sebanyak RM500 mulai 21 September ini atau Selasa ini, secara berperingkat.

“Jadi anda boleh membuat semakan status kelulusan GKP 4.0 mulai 20 September, melalui portal GKP, sama seperti proses sebelum ini, dan pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang didaftarkan dalam sistem GKP,” katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat memaklumkan saluran bantuan GKP 4.0 sebanyak RM500 juta lagi di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Beliau berkata, bantuan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih sejuta PKS mikro, bagi meringankan beban kewangan mereka dalam mengharungi tempoh yang masih mencabar.

BACA: GKP 4.0: Kerajaan salur RM500 juta kepada PKS mikro, bayaran mulai 21 Sept 

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, bantuan kepada golongan berkenaan secara keseluruhan sejak COVID-19 melanda negara ini ialah sebanyak RM6.08 bilion.

Namun, jelasnya lagi, bantuan tidak terhenti di situ, sebaliknya kerajaan terus komited untuk membantu perniagaan, dengan meneruskan agenda pemulihan sektor ekonomi, melalui pelbagai insentif dan sokongan.

“Baru baru ini saya telah meminta institusi kewangan pembangunan agar memainkan peranan untuk membantu memulihkan perniagaan terutamanya bagi perusahaan mikro kecil dan sederhana.

“Saya yakin usaha pelbagai pihak ini selari dengan semangat ‘Keluarga Malaysia ‘untuk membantu perniagaan kembali pulih,” katanya lagi.