KUALA LUMPUR: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) perlu diberi kebebasan untuk melakukan pelaburan di luar negara.

Bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan berpendapat fokus syarikat itu adalah untuk mendapatkan pulangan yang tinggi dan tidak seharusnya dipertanggungjawabkan dalam hal berkaitan kestabilan nilai ringgit.

"Ada kekangan syarikat ini melabur di luar kerana takut tentang ringgit dan saya nak sebut kalau tengok statistik, jangan kita 'miss the forest for the trees'.

"Purata volume bulanan urus niaga antara bank untuk pasaran pertukaran asing adalah lebih kurang RM51 bilion setiap bulan.

"Jadi ada RM51 bilion pergerakan (urus niaga) kalau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) nak melabur RM1 bilion atau RM2 bilion dalam syarikat di luar (negara) untuk pulangan terbaik kepada pencarum," katanya dalam program podcast Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Shahril berkata GLIC perlu diberikan kebenaran untuk berbuat demikian dan bukan 'disekat' semata-mata kerana bimbang terhadap kedudukan ringgit.

"Bank Negara Malaysia (BNM) mungkin terlalu risau kedudukan ringgit, dia (BNM) ambil jalan pintas untuk menghalang (dan) menyusahkan dana-dana ini mencapai pulangan pelaburan yang terbaik.

"Bayangkan anda salah seorang CIO (chief information officer) kepada entiti berkenaan dan mahu melabur untuk urus niaga terbaik. Sebagai contoh saham syarikat NVIDIA harga tengah naik 'gila-gila', saya pasti sesetengah daripada pasukan pelaburan entiti ini mahu melabur," ujarnya lagi.

Bagaimanapun, katanya pelaburan tersebut berkemungkinan tidak dapat diteruskan ekoran BNM atau Kementerian Kewangan (MoF) bermungkinan bimbang pengeluaran keluar wang dari negara.