KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada Khamis mengumumkan program Global Online Workforce Aspirasi (GLOW Aspirasi), iaitu sebuah program untuk membantu rakyat Malaysia menjadi pekerja bebas digital yang lebih berdaya saing di peringkat global.

GLOW Aspirasi merupakan program sokongan kepada program utamanya, iaitu GLOW, yang telah diperkenalkan sejak 2016.

Program baharu ini akan memberi tumpuan kepada penyediaan latihan intensif, yang mana sesi bimbingan dijalankan sepenuhnya MDEC untuk memastikan kualiti dan keberkesanannya.

Program yang akan dijadualkan berlangsung dari Mei hingga September 2022 ini akan menyediakan latihan, jurulatih dan mentor kepada 4,000 rakyat Malaysia untuk menjadi pekerja bebas digital.

Ia menetapkan sasaran iaitu sekurang-kurangnya 75% daripada peserta yang dilatih akan berjaya menjana pendapatan.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, GLOW Aspirasi dipacu platform digital yang memenuhi permintaan persekitaran ekonomi semasa.

“Kami berhasrat untuk memadankan kedua-dua elemen berkenaan bagi mempromosikan akses platform digital kepada rakyat yang berminat untuk terlibat dalam perkongsian ekonomi.

“Kami mahu memanfaatkan dan mengaktifkan semula aset-aset yang tidak dimaksimumkan penggunaannya dalam ekonomi dan merebut pelbagai peluang bagi meningkatkan pendapatan isi rumah. Ia boleh dilakukan melalui peningkatan kemahiran dan menambah baik kebolehpasaran pekerja gig,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Program ini menyasarkan graduan menganggur dengan keutamaan diberikan kepada mereka yang memegang diploma atau ijazah dalam Teknologi Maklumat (IT), Sains Komputer, Multimedia, Perniagaan, Pemasaran, Hospitaliti dan Bahasa.

MDEC juga memberi keutamaan kepada pekerja dalam sektor pelancongan dan hospitaliti, kreatif media dan pendidikan yang terjejas akibat pandemik COVID-19, khususnya pekerja yang diberhentikan serta mereka yang dikenakan pemotongan gaji lebih daripada 30%.

Menerusi program ini, peserta akan diberi pendedahan dan panduan untuk mengenal pasti platform dalam talian yang mereka boleh manfaatkan kemahiran, serta latihan yang diperlukan untuk meningkatkan kemahiran.

Peserta akan diperkenalkan dengan lima topik kluster penting seperti laman sesawang, teknologi maklumat (IT) dan perisian, penulisan kandungan, perekaan, media dan seni bina, pengurusan data, kerani pejabat maya, jualan serta pemasaran.

Sesi latihan akan dikendalikan jurulatih GLOW yang merupakan antara pekerja bebas berpengalaman yang memiliki pencapaian cemerlang dan menyediakan sesi mentor secara percuma sehingga peserta berjaya memperoleh projek sendiri di platform yang diiktiraf MDEC.

MDEC telah bekerjasama dengan hos platform tempatan dan antarabangsa untuk menyediakan jaminan kepada pekerja bebas untuk membuat bidaan pekerjaan, dan projek di persekitaran digital yang selamat dan dilindungi.

Antara platform berkenaan ialah Upwork, Freelancer.com, Workana, Topcoder, 123RF, Favser.com, Rtist, Experfy, DesignCrowd dan PeoplePerHour.

Sejak dilancarkan pada tahun 2016, GLOW telah memperkasa bakat tempatan menerusi latihan semula dan peningkatan kemahiran, serta membantu mempromosikan pekerjaan bebas dalam talian untuk diiktiraf sebagai kerjaya yang lumayan dan mampu memberikan pendapatan yang mampan.

Secara keseluruhan, program GLOW telah berjaya melatih seramai 73,198 peserta dan membantu mereka menjana pendapatan terkumpul lebih RM240 juta. - DagangNews.com