KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula serta Kertas Respons untuk memperkenalkan penambahbaikan bersasar terhadap rangka kerja pasaran utama.
Dalam satu kenyataan hari ini, ia memaklumkan inisiatif itu bertujuan meningkatkan akses kepada penyenaraian awam bagi penerbit selain memperjelas peranan serta memperkukuh pembezaan antara setiap segmen seperti pasaran utama dan pasaran ACE.
Penambahbaikan utama untuk pasaran utama termasuk keperluan keuntungan yang lebih tinggi, kualiti pelaporan kewangan yang diperkukuh, penambahan fleksibiliti dalam penilaian aliran tunai operasi serta peluasan kelayakan bagi penyenaraian berasaskan infrastruktur.
Penambahbaikan utama untuk pasaran ACE pula diperkukuh sebagai pasaran berasaskan penaja dengan keperluan rekod prestasi minimum dua tahun selepas penyenaraian sebelum boleh dipindahkan ke pasaran utama, pemansuhan pengecualian terhadap penajaan dan moratorium serta pengenalan keperluan peruntukan pegangan saham awam minimum.
Sementara itu Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata penambahbaikan ini mencerminkan komitmen berterusan SC terhadap pengawalseliaan yang bersesuaian dengan tujuan iaitu seimbang, memudah cara serta responsif terhadap evolusi model perniagaan.
“Usaha ini menyokong inisiatif lebih luas SC dalam meningkatkan kecekapan kawal selia dan kecemerlangan tadbir urus seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030.
“Secara keseluruhannya, segmentasi yang lebih jelas ini memperkukuh pembezaan antara lapisan pasaran, meningkatkan kualiti penyenaraian serta menyediakan laluan peralihan yang lebih tersusun bagi syarikat untuk berkembang daripada pasaran ACE ke pasaran utama,” katanya.
Menurut SC, penambahbaikan ini susulan daripada proses rundingan awam yang selesai pada Disember 2025 di bawah kajian segmentasi pasaran dengan mengambil kira maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Cadangan yang diterima pakai bagi pasaran utama akan berkuat kuasa pada 3 Jun, 2026 melalui Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang https://www.sc.com.my/regulation/guidelines/equity untuk Garis Panduan Ekuiti yang disemak semula dan https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers untuk Kertas Respons Awam.
-- BERNAMA