JOHOR BAHRU: Golongan muda termasuk siswa perlu mengambil peluang menceburi bidang perniagaan berkonsepkan francais, yang merupakan platfrom terbaik dan mudah untuk berkembang dengan maju.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata setakat ini, penyertaan golongan siswa dilihat masih kecil, iaitu kira-kira 20 peratus.

"Penyertaan siswa dalam francais pada ketika ini tidak sampai 20 peratus. Tetapi kita cuba banyakkan dan memperhebatkan, dengan memberi kesedaran berhubung perniagaan ini sebab francais ini bila terlibat mereka sudah ada garis panduan.

"Bagaimana hendak buat dari langkah pertama hingga akhir itu, kelebihan francais berbanding perniagaan biasa," katanya pada sidang media selepas Program Jelajah Franchise Bay Peringkat Negeri Johor Tahun 2022 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini pada Sabtu.

Beliau berkata persepsi bahawa perniagaan francais adalah untuk golongan 'kayangan' juga perlu diubah, berikutan kementeriannya menawarkan program seperti Francais Mikro dan Mampu Milik, bagi membantu pertumbuhan perniagaan francais dengan peruntukan RM5 juta.

"Jika sebelum ini modal besar sehingga ratusan ribu ringgit diperlukan untuk yang berminat melabur dalam perniagaan francais, dengan dua program ini, bakal usahawan hanya perlu mengeluarkan modal di bawah RM100,000.

"Dengan modal di bawah RM100,000, diyakini lebih ramai bakal usahawan terutama lepasan universiti berpeluang menceburi bidang perniagaan, dan tidak hanya terkepung dalam lingkungan pencari kerja, sebaliknya dapat meneroka ruang sebagai penyedia peluang pekerjaan kepada belia lain," katanya.

Beliau berkata program seumpama itu juga dapat membantu meningkatkan taraf hidup terutama golongan B40 dan M40 menerusi perniagaan francais, sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Sementara itu beliau berkata Program Franchise Bay, merupakan siri pameran melibatkan penyertaan syarikat francais bagi mempromosikan perniagaan mereka, kepada orang ramai yang berminat untuk menjadi usahawan dan kumpulan peniaga yang ingin menceburi perniagaan berkonsep francais, dengan Siri Pertama Jelajah Franchise Bay bagi tahun 2022 bermula di Kuching, Sarawak.

"Sebanyak 15 francaisor tempatan telah terlibat (di Sarawak) manakala hasil daripada penganjuran program itu, sebanyak 59 potensi francaisi telah mendapatkan khidmat nasihat dan mengemukakan hasrat untuk menjadi francaisi, dengan nilai potensi pelaburan dijangkakan adalah sebanyak RM24 juta," katanya.

Beliau berkata bagi Franchise Bay peringkat negeri Johor pula, pihaknya menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi baharu, dengan nilai potensi pelaburan sebanyak RM7.5 juta.

-- BERNAMA