Google tawar penyelesaian digital bagi PKS

Nurulhana Ismail
Mei 10, 2016 00:01 MYT
Hanya 19.6 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menggunakan penyelesaian digital bagi menjalankan perniagaan. - Gambar fail
Hanya 19.6 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia menggunakan penyelesaian digital bagi menjalankan perniagaan.
Menurut Ketua Pemasaran Google Malaysia, Jon Day situasi ini amat merugikan kerana 92 peratus pengguna internet di Malaysia menggunakan carian atas talian bagi mendapatkan maklumat produk dan perkhidmatan.
Sehubungan itu, Google menawarkan beberapa penyelesaian digital secara percuma dan pada harga yang berpatutan.
Ia bagi membantu PKS meningkatkan kehadiran di atas talian, pengurusan jualan dan kempen pemasaran.
BACA: Tingkat eksport PKS melalui e-dagang
"Pada asasnya, kami menawarkan dua solusi melalui platform baharu kami. Pertama adalah 'Google My Business' yang merupakan penyenaraian percuma kepada perusahaan dalam semua platform Google termasuk Google Search, Google Maps dan Google Plus.
Kemudian kita ada Google Adworks yang menawarkan pengiklanan atas talian yang membolehkan perusahaan melakukan kempen pemasaran kepada pengguna internet yang relevan kepada perniagaan mereka dan membawa pengguna terus ke laman perniagaan mereka," kata Jon.
Menurut Jon, Google akan turut bekerjasama dengan SME Corp Malaysia bagi membantu usahawan menggunakan penyelesaian digital.
"Kita tidak mensasarkan perniagaan tertentu kerana ia adalah solusi bagi semua jenis PKS. Kami percaya dengan strategi perniagaan yang betul kita dapat pastikan perniagaan mereka berkembang menerusi platform kami.
"Apa yang kita perlu lakukan sekarang adalah memastikan pengguna sedar akan kewujudan perkhidmatan dan perniagaan PKS atas talian. Kami juga mencadangkan agar mereka bekerjasama dengan kami supaya mereka dapat membawa pengguna sasar terus kepada perniagaan mereka, " ujar Jon.
Beliau ditemui pada bengkel penyelesaian digital 'Go Digital' anjuran Google yang memaparkan penawaran baharu platform enjin carian itu bagi PKS.
Bengkel tersebut akan diteruskan di Pulau Pinang pada 25 Mei ini dan di Kota Kinabalu pada Jun depan.
#'Go Digital' #'Google My Business' #Adworks #Google #Jon Day #Ketua Pemasaran Google Malaysia #PKS