KUALA LUMPUR: Had statutori hutang negara mungkin akan dinaikkan kepada 65 peratus daripada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengemukakan cadangan itu berkata, perkara itu akan dikemukakan ke Kabinet minggu hadapan sebelum dibawa ke Parlimen.

Menurut beliau, nisbah hutang statutori kepada KDNK pada masa ini adalah sebanyak 58 peratus, namun ia dijangka meningkat melebihi 60 peratus pada penghujung tahun ini lantaran komitmen kerajaan untuk menyokong rakyat dan perniagaan.

“Hari ini, kita masih di bawah 60 peratus, (iaitu) sebanyak 58 peratus daripada had statutori hutang kita dan walaupun jika kita melepasinya, ia adalah kecil, tetapi sekali lagi, kita perlu membawanya ke Parlimen untuk menaikkan had tersebut.

“Pelannya untuk membentangkan cadangan ini kepada Kabinet minggu depan, kemudian kita akan membawanya ke Parlimen pada masa yang sesuai,” katanya dalam sidang media hari ini.

Berdasarkan pengiraan had statutori, nisbah hutang kerajaan Persekutuan merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB).