KUALA LUMPUR: Harga minyak mentah boleh meningkat melebihi paras semasa iaitu AS$100–AS$103 setong jika perang di Asia Barat terus menjejaskan laluan di Selat Hormuz dan kekurangan bekalan menjadi lebih meruncing, kata Penganalisis Kanan Minyak Mentah Kpler, Muyu Xu hari ini.
Harga minyak mentah kini berlegar pada paras AS$101–AS$103 setong untuk minyak mentah Brent manakala West Texas Intermediate (WTI) sekitar AS$92–AS$95 setong.
Advertisement
Bagaimanapun, Xu berkata jika peperangan berakhir menjelang pertengahan April, harga dijangka mengalami pembetulan apabila turun dengan cepat dan mendadak kepada AS$80–AS$90 setong.
“Tetapi, jika ia berlanjutan lebih lama, harga minyak akan kekal tinggi atau bahkan lebih tinggi apabila bekalan semakin terhad dan ia akan mengambil lebih banyak masa untuk pengeluar di Asia Barat menyambung semula pengeluaran,” katanya bagi menjawab soalan hos Jason Wee di program Bernama World bertajuk ‘Global Crude Oil Market Outlook Amid Geopolitical Tensions’ terbitan Bernama TV hari ini.
“Pengeluar minyak di rantau ini telah mengurangkan pengeluaran sekurang‑kurangnya 10 juta tong sehari manakala Iran kelihatan lebih berdaya tahan daripada yang dijangkakan meskipun diserang oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel,” katanya.
Xu juga memberi amaran tentang kemusnahan permintaan di negara-negara Asia sekiranya keadaan bekalan yang terhad dan harga yang semakin meningkat tidak bertambah baik secara ketara dalam tiga hingga empat minggu akan datang.
Kemusnahan permintaan merujuk kepada penurunan berterusan dalam permintaan untuk barangan tertentu disebabkan oleh faktor-faktor seperti harga yang tinggi secara berterusan atau bekalan yang terhad, yang kedua-duanya menjejaskan negara-negara pengguna minyak.
Mengulas lanjut tentang pengeluaran minyak oleh pengeluar, Xu berkata dalam tempoh 1-17 Mac, hanya kira-kira 27 juta tong minyak melalui Selat Hormuz, dengan sebahagian besarnya sekitar 20 juta tong adalah dari Iran.
“Sementara itu, pengeluar lain hanya berjaya menghantar kurang daripada setengah juta tong sehari, iaitu kira-kira tiga peratus daripada paras normal mereka,” katanya.
Xu berkata gangguan yang berpanjangan itu telah mengubah sentimen pasaran, dengan risiko geopolitik semakin diambil kira dalam penetapan harga minyak mentah.
“Sebenarnya, apa yang menarik adalah pasaran telah menjangkakan penutupan sementara Selat Hormuz sebelum perang bermula dan ramai melihat ini sebagai senario terburuk.
Bagaimanapun, selat yang penting itu bukan sahaja ditutup pada masa ini, malah telah ditutup selama tiga minggu, mengurangkan bekalan dan memberi tekanan ke atas harga minyak.
“Memandangkan Iran kelihatan lebih berdaya tahan daripada yang dijangkakan ramai, nampaknya konflik ini tidak akan berakhir dengan cepat, jadi lebih banyak premium risiko telah diambil kira, bermula dari AS$5 hingga AS$10, kini kepada AS$15 hingga AS$20.
“Ia berpotensi boleh meningkat lebih tinggi lagi,” kata Xu.
Dan kesannya, Xu berkata penapis minyak di Asia sudah mula menyesuaikan diri dengan keadaan bekalan yang lebih terhad serta mendapatkan sumber minyak mentah alternatif walaupun tempoh masa penghantaran masih menjadi cabaran.
“Mereka (penapis minyak) sedang melakukan apa sahaja yang mampu untuk mencari bekalan alternatif tetapi masalahnya, bekalan berkenaan tidak akan sampai ke kilang penapisan masing-masing dalam tempoh satu atau dua bulan kemudian.
“Pada masa yang sama bagi kilang penapisan, disebabkan mereka melihat bekalan yang agak terhad dan inventori yang rendah, kebanyakannya memutuskan untuk mengurangkan operasi. Sebagai contoh, di China, mereka telah mengurangkan operasi sebanyak 10 hingga 20 peratus dan beberapa kawasan di Taiwan atau rantau lain mungkin mengalami pengurangan operasi yang lebih besar,” katanya.
Beliau menambah kenaikan harga bahan api juga mula memberi kesan kepada pengguna dan ia berpotensi menjejaskan permintaan.
“Kita kini menyaksikan harga runcit petrol dan diesel yang melonjak serta orang ramai beratur di luar stesen minyak untuk mengisi tangki kenderaan masing-masing sebelum harga meningkat lebih tinggi.
Beliau menegaskan jika keadaan tidak bertambah baik secara ketara dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang, berkemungkinan berlaku gangguan permintaan di negara-negara Asia disebabkan harga bahan api yang tinggi dan terhad.
“Jadi, lebih banyak negara mungkin memperkenalkan langkah mengehadkan penggunaan bahan api serta menggalakkan orang ramai bekerja dari rumah dan mengurangkan pemanduan,” katanya.
Menurut Xu, harga bahan api jet dan kos pembekalan bahan api kapal yang lebih tinggi mungkin menyebabkan pengurangan dalam perjalanan udara dan aktiviti logistik melalui laut.
“Itu akan menjejaskan perdagangan antarabangsa dan aktiviti ekonomi,” katanya.
Apabila ditanya mengenai langkah Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) yang dianggotai 32 negara untuk melepaskan Rizab Petroleum Strategik (SPR) sebanyak 400 juta tong minyak bagi mengelakkan gangguan bekalan, beliau berkata langkah itu mungkin hanya memberikan kelegaan jangka pendek.
Pelepasan SPR bertujuan menenangkan harga minyak dalam jangka pendek selain mengatasi kekurangan bekalan dengan segera.
“Tetapi secara keseluruhannya, ia kurang membantu untuk meredakan isu pasaran yang lebih luas.
"Pada asasnya, ia seperti menggunakan plaster perubatan pada keretakan. Jadi selain daripada angka-angka utama, masa dan butiran untuk melepaskan SPR masih tidak jelas,” kata Xu.
Kpler merupakan platform data dan analitik berasaskan langganan yang menyediakan risikan masa nyata berhubung aliran komoditi global, operasi maritim dan pasaran perdagangan.
-- BERNAMA