JAKARTA: Indonesia mengulangi komitmennya untuk memperkukuh perlindungan pekerja migran semasa Forum Semakan Migrasi Antarabangsa (IMRF) Kedua 2026 yang berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York.
Indonesia menyatakan komitmen itu melalui Penjelasan Undi yang disampaikan selepas Deklarasi Kemajuan diterima pakai secara konsensus oleh semua negara anggota PBB pada Jumaat.
Ketua Pengarah Perlindungan Kementerian Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (KP2MI), Rinardi berkata, negara itu menyokong penuh Deklarasi Kemajuan berkenaan sebagai rujukan bagi tadbir urus migrasi global bagi tempoh 2026-2030 di bawah kerangka Perjanjian Global bagi Migrasi yang Selamat, Teratur dan Terancang (GCM).
“Indonesia menyokong penuh Deklarasi Kemajuan ini tanpa sebarang keraguan. Hak dan maruah pekerja migran mesti kekal menjadi keutamaan dalam tadbir urus migrasi global,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Rinardi berkata, Indonesia mengetengahkan tiga perkara utama dalam Penjelasan Undinya iaitu sokongan penuh terhadap deklarasi, pengiktirafan bahawa setiap negara menghadapi realiti migrasi yang berbeza serta kepentingan kerjasama antara negara asal, transit dan destinasi.
“Perbezaan realiti migrasi dalam kalangan negara-negara ini mengukuhkan lagi keperluan mendesak untuk dialog dan kerjasama yang saksama dalam tadbir urus migrasi global,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama yang lebih erat dan perkongsian praktikal antara negara adalah penting bagi memastikan perlindungan yang berkesan serta mampan untuk pekerja migran.
Menurut Rinardi, Kerajaan Indonesia melalui KP2MI komited untuk melaksanakan deklarasi itu bagi memperkukuh perlindungan terhadap lebih lima juta pekerja migran Indonesia yang bekerja di luar negara.
Forum IMRF 2026 yang berlangsung dari 4 hingga 8 Mei itu menghasilkan Deklarasi Kemajuan yang akan berfungsi sebagai rujukan dasar global bagi tadbir urus migrasi sehingga tahun 2030.
-- BERNAMA