KUALA LUMPUR: Kumpulan Ethis, melalui anak syarikatnya HASAN, telah melancarkan program bagi memperkasa syarikat baru dalam ekonomi halal.

Dikenali sebagai HASAN Accelerator, program itu dirancang untuk memacu inovasi dalam industri halal dengan menyediakan modal dan sokongan strategik kepada syarikat pemula.

Program itu menawarkan pendekatan holistik yang menyatukan bantuan kewangan, nasihat strategik dan akses kepada pangkalan data besar umat Islam.

Dengan pelaburan yang meliputi pelbagai sektor dari teknologi hingga gaya hidup halal, HASAN Accelerator menawarkan pembiayaan dalam julat ASD60 ribu hingga ASD250 ribu.

Pengarah Urusan Kumpulan Ethis, Umar Munshi, berkata program itu mengatasi cabaran utama yang dihadapi syarikat pemula Muslim dengan menyediakan ekosistem komprehensif dalam ekonomi halal.

“Platform digital ini mendapat sokongan penuh pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

“Program akan berjalan selama lapan minggu, memilih dengan teliti 10 syarikat permulaan setiap kitaran untuk menerima pembiayaan dan sokongan yang berterusan.

“Kemuncak program ini adalah Hari Demo tahunan di mana graduan dapat mempamerkan pencapaian mereka kepada pelabur dan rakan kongsi pembiayaan," katanya.

Mengulas berkenaan industri sasaran, pihaknya bersifat terbuka dengan tumpuan diberi kepada kewangan Islam, makanan halal dan perdagangan halal.

Dalam pada itu, menurut Ketua Perhubungan Pelabur, HASAN, Mohd Akhtaar, berbekalkan pengalaman yang panjang dalam ekonomi Islam, ia mendayai mereka sebagai hab bagi pelabur menembusi sektor tersebut.

“Dengan pelancaran program ini, HASAN menetapkan standard baharu dalam memupuk pertumbuhan syarikat pemula dalam industri halal, sekali gus menandakan langkah penting dalam memajukan ekonomi penting ini," ujarnya ketika majlis pelancaran HASAN di ibu kota pada Sabtu.

Platform tersebut dijadual tersedia untuk diakses bermula pertengahan Mac.

Selain Malaysia, platform itu dijangka mampu menembusi beberapa pasal global seperti Indonesia, Singapura dan Timur Tengah.