ISTANBUL: Presiden Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Taj berkata pengeluaran visa tepat pada masanya kekal menjadi antara kebimbangan utama menjelang Piala Dunia FIFA 2026, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media Iran pada Khamis.
“Isu visa ketika ini merupakan antara perkara paling penting. FIFA perlu menyelesaikan proses pengeluaran supaya visa dikeluarkan tepat pada masanya dan anggota pasukan serta pengiring boleh melakukan perjalanan tanpa masalah,” kata Taj.
Beliau berkata Iran telah menyerahkan senarai dan permohonan berkaitan kejohanan itu, dan perkara berkenaan akan diselaraskan serta diumumkan bersama Mexico, Kanada dan Amerika Syarikat (AS).
Taj turut berkata kebimbangan yang sebelum ini dibangkitkan berhubung syarat penganjuran dan kemungkinan sensitiviti di AS telah “berkurangan sebahagiannya”.
“Buat masa ini, tiada masalah tertentu di Mexico dan keadaan berjalan seperti biasa,” katanya.
Ketua bola sepak Iran itu turut berkata pihak AS dilaporkan menunjukkan kerjasama berhubung beberapa pengaturan tertentu, termasuk isu berkaitan kehadiran rakyat Iran serta memenuhi beberapa keperluan logistik.
Pasukan bola sepak kebangsaan Iran minggu lalu mengemukakan permohonan visa di Kedutaan AS di Ankara sebagai persediaan menghadapi Piala Dunia FIFA 2026.
Kejohanan itu akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico dari 11 Jun hingga 19 Julai.
Anggota skuad Iran berkunjung dari kem latihan mereka di bandar peranginan Antalya, Turkiye ke ibu negara Ankara bagi melengkapkan urusan visa.
Pasukan itu mengadakan kem latihan di Antalya sejak 19 Mei.
Naib Presiden Pertama Persekutuan Bola Sepak Iran, Mehdi Mohammad Nabi sebelum ini berkata delegasi itu turut akan melengkapkan urusan visa Kanada semasa lawatan berkenaan, dengan beberapa pemain Iran yang berpangkalan di luar negara dijangka turut menyertai proses itu.
-- BERNAMA-ANADOLU