BUSINESS
Honda Malaysia lancar kenderaan elektrik berkuasa bateri pertama e:N1 berharga RM149,900

Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum (kiri) bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Narushi Yazaki (kanan) melancarkan Honda e:N1 di MITEC hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Honda Malaysia melancarkan kenderaan elektrik berkuasa bateri (BEV) pertamanya iaitu e:N1 yang berharga RM149,900 seunit.
Ringkasan AI
- Honda Malaysia melancarkan kenderaan elektrik e:N1 berharga RM149,900, dengan rancangan memperkenalkan dua lagi model EV dalam tiga tahun akan datang berdasarkan permintaan pasaran.
- e:N1 dikuasakan bateri litium-ion 68.8kWh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 78kW, dengan penghantaran pertama dijangka pada pertengahan Jun melalui lapan pengedar sah.
- Honda berharap kerajaan terus melanjutkan insentif cukai untuk EV CKD selepas 2027, bagi menyokong sasaran negara untuk menjadikan EV menyumbang 15% daripada jumlah jualan kenderaan menjelang 2030.
"Matlamat kami adalah untuk bertindak balas secara berhati-hati dan strategik," katanya selepas pelancaran e:N1 di sini hari ini.
Dikuasakan oleh bateri litium-ion 68.8kWh, e:N1 berupaya menjana kuasa maksimum 150kW dan kuasa kilas 310Nm.
Ia menyokong pengecasan AC (pengecasan biasa) sehingga 10kW dan dilengkapi dengan pengecasan DC (pengecasan pantas) sehingga 78kW.
Warna yang tersedia untuk model itu ialah Platinum White Pearl, Aqua Topaz Metallic dan Urban Gray Pearl.
"Syarikat setakat ini telah menerima 200 tempahan dan penghantaran pertama dijangka pada pertengahan Jun. Kami juga telah melantik lapan pengedar sah yang pakar dalam menguruskan kereta EV," kata Yazaki.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sarly Adle Sarkum berkata pihaknya berharap agar kerajaan akan terus melanjutkan lagi insentif, termasuk pengecualian cukai untuk EV yang dipasang secara tempatan (CKD) selepas 2027.
Beliau berkata cadangan itu juga bertujuan untuk menyokong sasaran negara bagi menjadikan EV menyumbang 15 peratus daripada jumlah jualan kenderaan di negara ini menjelang 2030.
"Jika program CKD bermula pada 2027, pengeluar akan memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun selepas itu untuk mendapatkan semula pelaburan mereka. Insentif adalah penting bukan sahaja untuk Honda, tetapi untuk seluruh industri automotif.
"Inilah pentingnya sokongan kerajaan kerana tanpa kesinambungan insentif, ia akan menjadi cabaran bagi Honda untuk memulakan program CKD," katanya.
Kerajaan sebelum ini telah menawarkan insentif seperti pengecualian cukai jualan untuk kenderaan CKD bagi membantu menjadikannya lebih mampu milik untuk pengguna.
EV yang diimport sepenuhnya (CBU), dikecualikan daripada cukai import dan cukai eksais sehingga 31 Disember, 2025, manakala EV CKD menikmati pengecualian itu sehingga 31 Disember, 2027.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami