Syarikat pengeluaran permotoran terkemuka Jepun, Honda Malaysia Sdn Bhd mengesahkan letupan beg udara beg udara yang dikeluarkan Takata Corp di bahagian pemandu pecah dalam satu kemalangan yang berlaku di Kota Damansara, Selangor, semalam.

Kemalangan tersebut telah menyebabkan kematian tragik kepada pemandu, kata Honda Malaysia dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan rasmi berhubung kejadian masih belum dikeluarkan setakat ini, menurut kenyataan tersebut.

"Kami menzahirkan rasa simpati kepada keluarga pemandu yang sedang mengharungi saat-saat sukar ketika ini," kata Honda.

Dalam kejadian yang berlaku pada Ahad, mangsa yang berusia 44 tahun sedang dalam perjalanan dari kediamannya di Sri Gombak ke Kota Damansara bersama-sama dengan dua anak lelaki dan anak buahnya. Anak mangsa berusia sembilan dan 12 tahun.

Sewaktu kejadian, kenderaannya dilaporkan terlanggar bahagian kanan sebuah kereta Mercedes di selekoh Jalan Teknologi 3/6A, Kota Damansara.

Beg udara diaktifkan lalu menekan bahagian dada mangsa. Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Ketiga-tiga penumpang tidak mengalami apa-apa kecederaan.

Takata menggunakan nitrat ammonium untuk menghasilkan letupan kecil bagi membolehkan beg udara menggelembung dengan cepat.

Tetapi bahan kimia berkenaan menjadi tidak stabil apabila terdedah kepada lembapan, menyebabkannya terbakar terlalu cepat serta memecahkan kelongsong logam yang direka untuk menyimpan kimia itu.

Beberapa hari lalu, Honda Malaysia memperluaskan langkah proaktif bagi menjamin keselamatan pengguna dengan memanggil semula 147,894 unit kenderaan Honda bagi menggantikan pengepam beg udara penumpang hadapan.

Berikut ialah kenyataan Honda Malaysia:

Honda Malaysia