Mulai 1 Januari, Hotel Bangi-Putrajaya akan dikenali sebagai Bangi Resort Hotel.

Ini merupakan satu lagi penjenamaan semula hotel tersebut selepas ia mula beroperasi pada tahun 1997 sebagai Hotel Equatorial Bangi-Putrajaya, kata hotel itu dalam satu kenyataan media hari ini.

Slogan baharunya, "Hospitality Redefined" bertujuan meneruskan aspirasi hotel 5-bintang tersebut dalam memberi keselesaan kepada semua pengunjungnya pada harga yang berpatutan.

Terletak di Bandar Baru Bangi, Bangi Resort Hotel yang berlandaskan konsep villa ala Sepanyol itu mempunyai kemudahan dan perkhidmatan yang sesuai bagi semua pengunjung, meskipun untuk percutian ataupun perniagaan.

Hotel 265 bilik ini turut mempunyai lima restoran – Funtasia yang menghidang buffet makanan tempatan dan Barat; Harmoni yang menghidang gabungan makanan Cina, Melayu, Nyonya dan Thai; restoran masakan Jepun, Kazumi; Tee Off Terrace yang berlatarbelakangkan padang golf, dan Lavista Xpress, sebuah kafe ala deli bagi mereka yang gemar makanan ringan.

Dapur Main Kitchen, Malay Kitchen, Cold Kitchen, Pastry Kitchen, Butchery Kitchen dan Harmoni Kitchen di hotel tersebut semua telah disahkan halal oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Kemudahan-kemudahan lain yang terdapat di Bangi Resort Hotel termasuk gimnasium, kolam renang, tempat permainan kanak-kanak ‘Funland’, gelanggang tenis, salun kecantikan serta pengangkutan harian (shuttle service) ke Kuala Lumpur, pusat-pusat membeli-belah dan tempat-tempat tarikan pelancong yang berdekatan.

Bagi meraikan penjenamaan semula ini, hotel tersebut melaksanakan beberapa promosi yang boleh diketahui melalui laman web www.bangiresorthotel.com, menghubungi talian 03-8210 2222 atau emel [email protected].