Seorang rentung, lebih 30 rumah setinggan terbakar di Tatau

Anggota bomba dan penyelamat Sarawak memadam api di penempatan setinggan di pekan Sangan, Tatau dalam Bahagian Bintulu, dalam kebakaran yang berlaku malam tadi. - Gambar ihsan JBPM Sarawak
KUCHING: Seorang lelaki kelainan upaya rentung selepas terperangkap dalam kebakaran yang membabitkan 31 rumah setinggan, di pekan Sangan, Tatau dalam Bahagian Bintulu, malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak melaporkan, insiden berlaku berhampiran Sekolah Kebangsaan Sangan Iban yang tiada akses jalan darat ketika penduduk masih meraikan sambutan Krismas.
Pusat gerak berkenaan menerima panggilan kecemasan sekitar jam 11.18 malam dan segera mengatur gerak sebuah jentera dengan kekuatan tujuh anggota dari Balai Tatau ke lokasi.
"Setibanya mereka di Pekan Sangan, pasukan mendapati api telah meranapkan lebih 30 kediaman berstruktur tidak kekal yang terletak di seberang sungai," kata pusat gerakan itu dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Katanya, pasukan operasi kemudian bertindak memindahkan peralatan pemadaman ke dalam perahu milik penduduk kampung dan menyeberang sungai untuk sampai ke lokasi kebakaran.
"Selepas kerja-kerja pemadaman selesai, pemeriksaan lanjut kemudian menemukan seorang mangsa rentung sekitar jam 2.36 pagi di bawah timbunan bara.
"Identiti mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Geruna Enchana, 22, seorang lelaki kelainan upaya," jelan kenyataan itu.
Mayat mangsa, katanya, telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Secara keseluruhan, kes membabitkan 23 keluarga dan 97 mangsa.
Punca dan anggaran kerugian, masih dalam siasatan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


