KUALA LUMPUR: Hutang Kerajaan Persekutuan diunjur sekitar 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir 2024 terutamanya bagi membiayai projek pembangunan strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) pada Jumaat menyatakan, jumlah tersebut lebih tinggi daripada RM1.15 trilion atau 61.9 peratus daripada KDNK.

Antara projek-projek RMK12 terbabit adalah program tebatan banjir, lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (CSR), Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura serta Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara atau kini dikenali sebagai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menurut laporan itu, pada 2022, hutang Kerajaan Persekutuan adalah 60.3 peratus daripada KDNK iaitu pada RM1.08 trilion.

Pada akhir Ogos 2023, jumlah hutang tersebut berjumlah RM1.14 trilion atau 62 peratus daripada KDNK dengan sebahagian besarnya dalam denominasi ringgit iaitu 97.4 peratus manakala baki 2.6 peratus dalam mata wang asing.

Pinjaman kasar kerajaan pada 2024 diunjur rendah sekitar 10 peratus.

Jumlah pinjaman kasar pada 2023 dianggarkan sebanyak RM228.5 bilion atau 12.4 peratus daripada KDNK dengan RM93.2 bilion untuk membiayai defisit manakala RM135.3 bilion bagi membiayai semula hutang matang.

"Kerajaan bertekad menstruktur semula ekonomi serta membina semula daya tahan dan kapasiti fiskal negara selaras dengan kerangka Ekonomi MADANI.

"Selain itu, kerajaan juga komited melaksanakan pengurusan hutang berhemat bagi mengurangkan pendedahan hutang dan lialibiti serta melaksanakan strategi pembiayaan yang mantap," kata laporan itu.

Bagi tahun depan, defisit fiskal diunjur lebih rendah pada 4.3 peratus daripada KDNK berbanding 5.0 peratus pada 2023.

Berikutan itu, kata laporan berkenaan, jumlah pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan bagi 2024 dijangka berkurangan kepada sekitar 10 peratus daripada KDNK berbanding 12.4 peratus pada 2023.

"Pembiayaan akan diperoleh sepenuhnya daripada sumber dalam negeri dengan mengambil kira kecairan yang mencukupi dan daya tahan pasaran modal tempatan," katanya.

Usaha akan turut ditumpukan bagi memastikan profil kematangan hutang terurus dengan mengurangkan terbitan dan jumlah terkumpul instrumen jangka pendek dalam mengurus risiko pembiayaan semula.

Bayaran khidmat hutang bagi 2024 diunjur 16.4 peratus daripada hasil

Bayaran khidmat hutang (DSC) pada 2024 diunjur pada RM49.8 bilion atau 16.4 peratus daripada hasil berbanding RM46.1 bilion (15.4 peratus hasil) yang dijangkakan pada 2023.

Nisbah DSC kepada hasil meningkat berbanding tahun sebelumnya disebabkan oleh jumlah hutang tinggi dan sejak beberapa tahun lepas, peningkatan pinjaman bagi membiayai dana COVID-19 dan perbelanjaan pembangunan telah meningkatkan bayaran itu.

Pada 2022 misalnya, ia mencecah RM41.2 bilion iaitu 14.1 peratus daripada hasil.

Berikutan itu, kata laporan tersebut, DSC kini merupakan komponen ketiga terbesar yang menyumbang 15.4 peratus daripada perbelanjaan mengurus (OE) dan dianggarkan meningkat 11.7 peratus kepada RM46.1 bilion.

DSC bagi terbitan domestik dianggarkan berjumlah RM45.3 bilion manakala baki RM0.8 bilion bagi pinjaman luar pesisir.

"Sehubungan itu, kadar purata wajaran kos pinjaman bagi keseluruhan hutang dalam negeri pada akhir Ogos 2023 pada kadar 4.095 peratus (2022: 4.031 peratus)."

Menurut laporan itu, purata wajaran tempoh matang bagi sekuriti hutang dianggarkan meningkat kepada 9.5 tahun (2022: 9.0 tahun) berikutan perubahan ketara komposisi kertas hutang jangka sederhana dan panjang dengan baki tempoh matang enam tahun dan ke atas yang merangkumi 58.3 peratus pada 2023, lebih tinggi berbanding 56.3 peratus pada 2022.

Sebaliknya, komposisi sekuriti dengan baki tempoh matang lima tahun dan ke bawah, berkurangan kepada 41.7 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu 43.7 peratus.

"Keadaan ini menunjukkan langkah strategik dalam mengurus risiko pembiayaan semula ke arah mencapai profil kematangan yang terurus," kata laporan itu.

-- BERNAMA