Skip to main content

Malaysia

Wakil Papar Gelvia Vanessa dinobat sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2026

KOTA KINABALU, 31 Mei -- Finalis Unduk Ngadau Kaamatan dari daerah Papar, Gelvia Vanessa Jenny tampil anggun dan menawan ketika dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 pada pertandingan akhir yang berlangsung di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA, Penampang hari ini._BERNAMA
Peserta yang mewakili daerah Papar, Gelvia Vanessa Jenny, 24, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada hari kemuncak sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), malam ini. - Foto BERNAMA

PENAMPANG: Peserta yang mewakili daerah Papar, Gelvia Vanessa Jenny, 24, dinobatkan sebagai Unduk Ngadau Kaamatan 2026 pada hari kemuncak sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), di sini malam ini.

Angka satu pada lengannya yang menandakannya sebagai peserta nombor satu, ternyata membawa tuah apabila diumumkan sebagai pemenang, sekali gus berjaya mengetepikan 52 peserta lain selepas terpilih antara tujuh finalis dalam pertandingan itu.

Gelvia Vanessa menerima trofi dan wang tunai RM15,000 serta pelbagai hadiah yang disampaikan oleh isteri Yang Dipertua Negeri Sabah Toh Puan Faridah Tussin disaksikan oleh isteri kepada Ketua Menteri Datin Seri Julia Salag bersama-sama isteri Timbalan Ketua Menteri I Datin Seri Linda Ewit.

Ketika ditemui pemberita, Gelvia Vanessa berkata beliau telah memulakan latihan sejak Februari lepas sebagai persiapannya untuk menghadapi pertandingan berkenaan. 

Anak ketiga daripada lapan beradik itu berkata penyertaannya dalam Unduk Ngadau kali ini adalah yang kedua dan berkat doa keluarga serta keinginan untuk cuba berinteraksi dengan orang ramai akhirnya membawa kejayaan buat dirinya.

"Rasa terharu, sangat-sangat bersyukur, macam-macam perasaan yang lain tidak dapat disebut, tetapi yang paling utama saya bersyukur, gembira," katanya sambil menambah bapanya ialah penoreh getah dan ibunya bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Kemuncak acara itu, Gelvia Vanessa memperagakan pakaian tradisi Kadazan Papar yang dipanggil "sia do binokian".

Unduk Ngadau merupakan pertandingan ratu cantik yang menampilkan kebudayaan dan warisan pelbagai etnik di Sabah bagi memperingati pengorbanan legenda Huminodun demi kesejahteraan rakyatnya.

Sementara itu, tempat kedua dimenangi Juje Elor yang mewakili daerah Tuaran dan membawa pulang trofi, wang tunai RM12,000 serta hadiah iringan, manakala Criszelbellkah Lorris, yang mewakili daerah Matunggong di tempat ketiga turut membawa pulang trofi, wang tunai RM10,000 dan hadiah iringan.

Terdahulu, sambutan Pesta Kaamatan 2026 ditutup secara rasmi oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman dengan acara mengomot atau menuai padi dan pukulan gong sebanyak tujuh kali pada majlis yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement