KUALA LUMPUR: Hutang luar meningkat kepada RM1.128 trilion atau 65.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga akhir Jun 2022 terutamanya disebabkan oleh pinjaman antara bank yang lebih tinggi dan kesan penilaian daripada kadar tukaran mata wang asing berikutan penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2023 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan pada Jumaat, jumlah hutang tersebut pada 2021 adalah RM1.08 trilion atau 70 peratus daripada KDNK.

Hutang luar terdiri daripada pinjaman luar pesisir sektor awam dan swasta, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin serta lain-lain hutang luar, jelasnya.

Pinjaman luar pesisir yang merupakan komponen terbesar hutang luar mencatat RM620.5 bilion atau 55 peratus daripada jumlah hutang luar, terutamanya disebabkan oleh terbitan berdenominasi mata wang asing bersih oleh syarikat bukan kewangan.

Sementara itu, pemegangan sekuriti hutang dalam denominasi ringgit oleh bukan pemastautin berkurang kepada 22.4 peratus (2021: 23.6 peratus) berikutan tindakan pelabur bukan pemastautin menyusun semula portfolio pelaburan dengan mencairkan pegangan dalam kertas hutang domestik.

Selain itu, liabiliti tersebut tidak terkesan dengan ketidaktentuan nilai ringgit berbanding mata wang lain.

Secara keseluruhan, hutang luar kekal terurus dengan mengambil kira profil kematangan hutang yang baik dengan komposisi hutang berjangka sederhana dan panjang berjumlah 60 peratus berbanding hutang berjangka pendek sebanyak 40 peratus.

Dalam pada itu, ketersediaan rizab mata wang asing yang mencukupi mengurangkan risiko pembiayaan semula liabiliti luar berjangka pendek.

-- BERNAMA