Institut Bank-Bank Malaysia (IBBM) kini bersedia melancarkan secara rasmi Pusat Latihan Perbankan Asianya pada awal tahun depan, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tay Kay Luan.

Katanya IBBM merasa teruja pelaksanaan projek itu kerana ia mewakili satu mercu tanda utama di dalam matlamatnya untuk mewujudkan satu hab pendidikan bagi ahli profesional perbankan dan industri di rantau ini.

"Ia merupakan satu langkah utama ke hadapan supaya kita dapat meningkatkan keupayaan untuk melatih dan berkongsi pengalaman di seluruh dunia," katanya.

Program itu direka bentuk dan dibangunkan bagi menawarkan peningkatan latihan secara sistematik bagi melengkapkan para peserta dengan kemahiran yang relevan apabila mereka meningkat di dalam kerjaya masing-masing.

"Kini, tinggal beberapa perkara pentadbiran yang perlu ditangani pada peringkat kerajaan,," kata Tay.

Institut itu juga sedang menaik taraf sistem e-Pembelajarannya, katanya.

"Kami sedang menunggu sistem kami dinaik taraf secara "langsung". Sebaik selesai diuji, para peserta boleh mendaftar secara online menjelang 2013," katanya.

Institut itu telah melaksanakan pelbagai program pendidikan dan latihan pada peringkat persijilan dan menganjurkan persidangan, ceramah dan seminar sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya memenuhi keperluan industri perbankan dan kewangan.

Tay berkata pihaknya juga merancang memperkenalkan kursus peringkat persijilan pengurusan risiko pada tahun depan sebagai satu kerja khusus.

"Dalam laluan menjadi ahli bank bertauliah, kini sudah ada satu kertas pengurusan risiko pada peringkat kemasukan. Mereka yang berkenaan kemudiannya menyambung kursus pada peringkat pertengahan dan seterusnya pada peringkat lanjutan untuk menjadi pakar di dalam pengurusan risiko," katanya.

Tay berkata pembangunan bakat juga sebahagian daripada pengurusan risiko.

"Bakat adalah komponen penting sebarang perusahaan dan juga mewakili risiko paling penting dalam mana-mana perniagaan. Di segi industri ini, ahli bank yang diambil bekerja menjadi sebahagian daripada industri dan tanpanya industri tidak akan berkembang dan makmur."

Katanya cabaran yang dihadapi sekarang ialah bukan kuantiti tetapi kepantasan untuk mendapatkan kemahiran bagi menampung keperluan peralihan kerana peranan pekerjaan kini sudah banyak berubah, yang memerlukan latihan semula dan peralihan.