KUALA LUMPUR: Klinik perubatan estetik, Idealyst terus komited memperkenalkan rawatan serta teknologi terkini bagi memastikan perkhidmatan yang ditawarkan memenuhi keperluan pelanggan, seiring perkembangan industri estetik yang semakin kompetitif.
Pengasas Bersama Idealyst, Dr Aidil Azry Mokhtar berkata, sokongan pelanggan sepanjang lebih sedekad menjadi antara faktor utama yang membolehkan syarikat itu terus berkembang dan kekal relevan dalam industri berkenaan.
Menurutnya, sempena ulang tahun ke-12 penubuhan Idealyst, syarikat berkenaan menganjurkan Malam Penghargaan Idealyst sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan dan kakitangan yang banyak menyumbang kepada kejayaan organisasi.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan kami atas sokongan yang diberikan sepanjang 12 tahun lalu. Tanpa mereka, kami mungkin tidak berada pada tahap ini hari ini.
"Kami juga komited untuk terus menjadi antara peneraju industri estetik dan kosmetik negara serta mengangkat jenama bumiputera dalam bidang perubatan estetik di Malaysia," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
Turut hadir ialah duta Idealyst, penyanyi terkenal Datuk Zainal Abidin.
Pada majlis itu, seramai 100 pelanggan setia menerima penghargaan menerusi tiga kategori yang diwujudkan, termasuk pelanggan paling banyak berbelanja serta kakitangan yang telah lama berkhidmat dengan syarikat tersebut.
Dr Aidil Azry berkata, penganjuran majlis berkenaan turut bertujuan memperkenalkan perkhidmatan Idealyst kepada lebih ramai pelanggan baharu, selain memberi peluang kepada syarikat menawarkan pelbagai rawatan dan teknologi terkini dalam bidang estetik.
Beliau menjelaskan, perubatan estetik bukan sahaja membantu meningkatkan penampilan seseorang, malah mampu menyumbang kepada tahap keyakinan diri yang lebih baik dalam kehidupan harian.
"Sebarang penambahbaikan, walaupun kecil, berpotensi meningkatkan keyakinan diri seseorang. Penampilan diri juga mempunyai pengaruh terhadap perasaan, prestasi kerja dan interaksi sosial," katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut memberi jaminan bahawa rawatan yang ditawarkan di klinik itu mampu diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Sementara itu, Zainal meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan sebagai duta rasmi Idealyst sejak dua tahun lalu.
Katanya, beliau berpuas hati dengan rawatan yang diterima dan menghargai pendekatan syarikat yang lebih menumpukan kepada perancangan rawatan jangka panjang berbanding memaksa pelanggan membeli pakej tertentu.
"Saya selesa bersama Idealyst kerana konsep perniagaan mereka yang tidak memberi tekanan kepada pelanggan, sebaliknya membantu merancang rawatan yang bersesuaian mengikut keperluan individu," katanya.
Sebelum ini, Idealyst turut menerima Anugerah Pencapaian Terbaik NCTF 2025, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri perubatan estetik tempatan.
Idealyst diasaskan oleh Dr Aidil Azry Mokhtar dan Dr Fadzlina Mohtar pada 2014 dan kini memiliki tiga cawangan di seluruh negara.