PUTRAJAYA: Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan pelancong Indonesia khususnya bagi mereka yang ingin mendapatkan perkhidmatan kesihatan pada kos berpatutan, dengan Melaka dan Pulau Pinang terus menjadi tumpuan pengunjung dari negara jiran itu.
Ketua Pengarah Tourism, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim berkata, rakyat Indonesia terutamanya dari Medan kerap berkunjung ke Malaysia atas pelbagai urusan termasuk mendapatkan rawatan perubatan dan menjalankan perniagaan.
Beliau berkata, kos rawatan kesihatan yang berpatutan dan kemudahan perubatan berkualiti di negara ini kekal antara faktor utama dalam menarik kedatangan pelawat dari Indonesia.
“Dalam keadaan tertentu, urusan perniagaan menyebabkan orang ramai terus melakukan perjalanan.
"Begitu juga rakyat Indonesia, mereka datang ke sini untuk mendapatkan rawatan kesihatan kerana kos rawatan di Malaysia berpatutan dan kemudahan perubatannya berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran memorandum kerjasama (MoC) antara Tourism Malaysia dan IOI Hospitality Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh IOI Properties Group Bhd (IOIPG), di sini, pada Rabu.
Ditanya mengenai gesaan kerajaan Indonesia agar jemaah umrah negara itu memilih penerbangan terus ke Arab Saudi berbanding penerbangan transit melalui Malaysia dan Singapura, Mohd Amirul Rizal berkata, pilihan perjalanan akhirnya bergantung pada keperluan serta keadaan setiap individu.
"Saya berpandangan kerajaan boleh memberikan nasihat namun rakyat sendiri lebih mengetahui apa yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menentukan sama ada saranan berkenaan akan menjejaskan ketibaan pelancong Indonesia ke Malaysia, sambil menambah angka pelancongan bagi Oktober mungkin memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai perkara terbabit.
Mengambil contoh nasihat perjalanan yang dikeluarkan ketika krisis Asia Barat Mac lepas, beliau berkata, orang ramai tetap meneruskan perjalanan ke luar negara apabila keadaan mengizinkan khususnya bagi urusan perniagaan.
Malaysia merekodkan ketibaan 32.2 juta pelawat antarabangsa bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, meningkat 2.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Timbalan Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Dahnil Anzar Simanjuntak dilaporkan menggesa jemaah umrah negara itu supaya mengutamakan penerbangan terus ke Arab Saudi berbanding laluan transit melalui Singapura dan Malaysia, atas alasan langkah itu berpotensi memperkukuh industri penerbangan negara berkenaan.
-- BERNAMA