IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT), pemilik dan operator Mid Valley Megamall dan The Gardens, tidak mempunyai pemangkin jangka masa terdekat berikutan ia tidak mempunyai aset runcit menarik dalam perancangan oleh penajanya IGB Corporation Bhd, kata HwangDBS Vickers Research.

Firma penyelidikan itu menjangkakan peluang pengambilalihan aset yang terhad, dan mengekalkan saranan simpan.

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun, 2013, IGB REIT mencatatkan pendapatan RM100.03 juta hasil daripada perolehan sebanyak RM208.43 juta.

Untuk masa depan, syarikat itu berkata Gardens Mall akan kekal sebagai pemacu pertumbuhan hasil bagi syarikat itu pada asas sewa yang lebih rendah, dengan aliran tunai yang stabil disokong oleh sumbangan daripada Mid Valley Megamall.

Nilai pasaran Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall kekal masing-masing RM3.5 bilion dan RM1.2 bilion.

HwangDBS berkata pengambilalihan pihak ketiga dijangka mencabar berikutan penilaian tinggi walaupun nisbah hutang rendah sebanyak 25 peratus.

"Rancangan pembinaan Southkey Megamall di Johor juga merupakan rancangan jangka panjang. Sasaran harga sedang dikaji semula dengan potensi menurun.

"Bagaimanapun, Gardens Mall akan menjadi pemacu pertumbuhan berdasarkan asas sewa yang lebih rendah berbanding Mid Valley Megamall dengan 53 peratus daripada keluasan bersih yang boleh disewa, tamat tahun ini." katanya dalam nota kajian pada Rabu.

Kadar sewa semasa IGB REIT dianggarkan kurang daripada RM10 sekaki persegi (psf), diskaun besar berbanding purata sewa di Pavilion KL (RM19psf) dan Suria KLCC (RM22-25psf), walaupun terletak di lokasi utama.

Pendapatan kasar dan pendapatan hartanah bersih, terutama daripada pendapatan sewa kasar Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall, masing-masing sebanyak RM107 juta dan RM70.6 juta.