MALAYSIA
Penerima zakat diminta amanah, lapor jika tidak lagi layak terima bantuan - Mohd Na'im

Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata penerima yang masih layak akan terus dibantu, namun matlamat utama MAIWP adalah memastikan golongan asnaf mampu keluar daripada kepompong kemiskinan. - Foto Facebook MAIWP
KUALA LUMPUR: Bantuan zakat yang disalurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) adalah berdasarkan kelayakan semasa penerima dan mereka yang tidak lagi layak diminta bersikap amanah dengan memaklumkan pihak berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata penerima yang masih layak akan terus dibantu, namun matlamat utama MAIWP adalah memastikan golongan asnaf mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Falsafah di MAIWP adalah melahirkan golongan asnaf yang dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, menjadi usahawan, dapat pendapatan lumayan dan kemudian mengeluarkan zakat untuk membantu orang lain," katanya kepada pemberita pada Program Ziarah Asnaf siri enam di Seputeh, di sini hari ini.
Mengenai program hari ini, Mohd Na'im berkata ia disertai pengurusan tertinggi MAIWP bagi membolehkan pihak pentadbiran zakat melihat secara langsung realiti kehidupan asnaf, sekali gus merapatkan hubungan kemanusiaan antara pemberi dan penerima bantuan.Beliau turut berkongsi pengalaman bertemu seorang penerima asnaf yang baru mendirikan rumah tangga dan sedang bergelut dengan penyakit buah pinggang yang memerlukan rawatan hemodialisis berterusan.
"Kos hemodialisis adalah sebanyak RM4,000 sebulan dan setahun dalam RM50,000. Dengan gaji sebanyak RM2,500, hampir mustahil untuk menjalani rawatan ini. Maka, MAIWP akan membantu beliau mendapatkan rawatan," katanya.
Mohd Na'im berkata bantuan berkenaan membolehkan pesakit meneruskan rawatan secara konsisten tanpa mengabaikan keperluan asas lain seperti sewa rumah dan perbelanjaan harian.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Wan Mohd Elham Faiz Wan Mat, 36, menyatakan penghargaannya terhadap bantuan MAIWP yang meringankan bebannya menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu dengan kos mencecah RM280 setiap sesi.
"Sebahagian kos ditampung oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang menyediakan RM150 bagi setiap sesi, manakala bakinya dibantu menerusi dana zakat MAIWP, saya amat berterima kasih atas bantuan ini," kata kakitangan sebuah syarikat utiliti itu yang menghidap penyakit buah pinggang sejak 2013.
Terdahulu, Mohd Na'im merasmikan Pusat Agihan Zakat (PAZA) Seputeh yang menjadi cawangan kesembilan di bawah pentadbiran MAIWP di Kuala Lumpur.
PAZA bertujuan memudahkan urusan golongan asnaf di sekitar Seputeh yang kebanyakannya menghadapi masalah pengangkutan untuk ke pusat agihan utama.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami