KUALA LUMPUR: Ringgit mengalami sedikit peningkatan untuk ditutup tinggi berbanding dolar AS hari ini, dengan kebanyakan peniaga tidak sabar-sabar menantikan imbuhan daripada Belanjawan 2024 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

Pada 6.02 petang, mata wang tempatan itu meningkat kepada 4.7255/7310 berbanding dolar AS daripada 4.7295/7335 pada penutup semalam.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata, pasaran mata wang kini menggunakan pendekatan tunggu dan lihat.

"Pasaran pertukaran mata wang asing menjangkakan belanjawan yang akan datang tidak melibatkan rangsangan fiskal yang berlebihan. Ia sebaliknya akan menumpukan pada pengagihan semula dasar, seperti mengurangkan subsidi untuk golongan kaya dan menyediakan bantuan kewangan kepada golongan kurang berkemampuan.

"Namun begitu, peralihan hala tuju dasar ini mungkin memberi manfaat kepada ekonomi dan mungkin membuahkan hasil positif untuk ringgit apabila kebimbangan berkaitan belanjawan kembali mereda," katanya kepada Bernama.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding yen kepada 3.1740/1779 daripada 3.1716/1745 pada penutup Isnin, jatuh berbanding euro kepada 5.0095/0153 daripada 4.9811/9853 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.7982/8049 daripada 5.7634/7682.

Mata wang tempatan itu diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean lain.

Ia lemah berbanding baht Thailand kepada 12.8571/8773 daripada 12.7435/7588 pada penutup Isnin dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4619/4662 daripada 3.4542/4574. Ia juga susut berbanding peso Filipina kepada 8.31/8.32 berbanding 8.30/8.31 sebelum ini.

Bagaimanapun, ia naik berbanding rupiah Indonesia kepada 300.1/300.8 daripada 301.3/301.7 pada penutup semalam.

-- BERNAMA