Indah Water Konsortium Sdn Bhd menandatangani memorandum persefahaman dengan Water Sanitation for Africa (WSA), agensi antara kerajaan seluruh Afrika, bagi menyediakan kemahiran teknikal dan perkhidmatan perundingan dalam pengurusan pembetungan di negara-negara di Afrika.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Kadir Mohd Din berkata Indah Water dipilih oleh WSA menduduki dalam jawatankuasa teknikal yang dibentuk oleh Yayasan Bill and Melinda Gates bagi mengemukakan cadangan dan penyelesaian jangka pendek dan panjang bagi perkhidmatan sanitasi di negara anggota WSA.

"Kami dipilih untuk berkongsi pengalaman kami dengan negara membangun, dan WSA kini berminat terhadap kepakaran kami dalam membangunkan kemudahan pembetungan mereka," katanya pada taklimat media di sini Khamis.

Abdul Kadir berkata WSA menerima geran daripada yayasan itu untuk merangka model kewangan dan ekonomi yang dapat meningkatkan perkhidmatan sanitasi serta meluaskannya kepada golongan miskin.

Beliau berkata yayasan itu sudah menghantar sepasukan pakar sisa buangan dari Amerika Syarikat melawat Indah Water selepas mengunjungi negara-negara di benua Afrika dan negara anggota Asean.

"Indah Water terkenal kerana kepakarannya melaksanakan teknologi dan inovasi mesra alam dalam bioteknologi, teknologi nano dan mikrobiologi.

"Ia merupakan antara faktor para pengamal dalam industri sisa buangan di rantau ini dan Timur Tengah belajar daripada Indah Water menerusi inisiatif pembangunan kapasitinya," kata Abdul Kadir.

Indah Water telah memberikan khidmat nasihat peringkat awal kepada WSA, dan menambah di negara-negara Afrika, kira-kira 6,000 kanak-kanak mati setiap hari akibat cirit-birit akibat sistem kumbahan yang lemah.

"Indah Water akan sentiasa menyokong kerajaan-kerajaan di Afrika dalam meningkatkan pengurusan kumbahan masing-masing supaya seiring dengan bilangan penduduk bandar yang semakin pesat berkembang," katanya.

Indah Water, syarikat perkhidmatan pembetungan, bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan pembetungan, operasi dan penyelenggaraan lebih 5,919 loji rawatan kumbahan dan 15,983 kilometer rangkaian paip kumbahan yang menghubungkan kira-kira 20 juta penduduk.