Ringkasan AI
- Datuk Ismail Lasim enggan mengulas kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Zakat.
- Barisan Nasional telah mengumumkan peletakan jawatan Ismail, namun ia hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
- Ismail dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, esok untuk membincangkan kedudukan beliau.
SEREMBAN: “Jumpa esok, jumpa esok.”
Itu reaksi ringkas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim ketika didekati pengamal media yang cuba mendapatkan penjelasan berhubung kedudukan beliau, hari ini.
Ismail yang menghadiri Majlis Pelancaran Bulan Zakat Negeri Sembilan anjuran Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) di D’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan, di sini bagaimanapun tidak memberikan sebarang ulasan lanjut.
Sekitar jam 2 petang, pengamal media cuba mendapatkan reaksinya sejurus majlis selesai, malah terus mengikut beliau sehingga ke kenderaan sebelum meninggalkan lokasi.
Difahamkan, Ismail dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, esok.
Ismail tiba di lokasi tepat jam 12 tengah hari ketika cuaca hujan sebelum majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan Asmaul Husna.
Pada Isnin, Barisan Nasional (BN) mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan menjelaskan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Tuanku Muhriz.
Semalam, Ismail dilihat masih menjalankan tugas rasmi seperti biasa termasuk menghadiri urusan pentadbiran kerajaan negeri di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan.
Turut hadir pada majlis hari ini, Timbalan Pengerusi MAINS, Jen (B) Tan Sri Mohd Shahrom Nordin dan Mufti Negeri Sembilan, Datuk Faudzinaim Badaruddin.