PUTRAJAYA: Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat pada Oktober sebanyak 2.9 peratus kepada 123.7 berbanding 120.2 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, peningkatan itu dipacu sektor Pengangkutan yang tumbuh 11.3 peratus.

Selain itu, Mohd Uzir berkata, indeks bagi Perumahan, Air, Elektrik, Gas, dan Bahan Api Lain meningkat 3.2 peratus, dengan kenaikan paling tinggi dicatatkan oleh Elektrik, Gas, dan Bahan Api Lain, iaitu 27.6 peratus.

“Peningkatan ini adalah susulan pertumbuhan dua digit dalam kumpulan Pengangkutan pada 11.3 peratus selari dengan peningkatan harga minyak dunia, yang mana purata harga RON97 meningkat RM2.84 berbanding RM1.97 pada Oktober 2020.

“Serentak itu, indeks bagi Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain meningkat 3.2 peratus dengan peningkatan tertinggi direkodkan kumpulan Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (27.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, Kelengkapan, Perkakasan Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah meningkat 2.1 peratus, manakala Minuman Bukan Alkohol dan Makanan meningkat 1.9 peratus, sekali gus menyumbang kepada kadar inflasi keseluruhan.

Sementara itu, sektor Perkhidmatan pula menyusut 0.4 peratus dan Barangan susut 0.2 peratus.

Mohd Uzir berkata inflasi bagi beberapa bulan akan datang dijangka akan dipengaruhi faktor luaran seperti peningkatan harga minyak mentah dan harga makanan.

Selain itu kebenaran rentas negeri juga diramal menyumbang kepada beberapa sektor berkaitan pelancongan.

Untuk tempoh 10 bulan pertama, Mohd Uzir berkata IHP meningkat 2.3 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi asas bulan ke bulan pula ia meningkat 0.7 peratus disumbang kumpulan Perumahan; Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain sebanyak 2.5 peratus.

Uzir berkata semua negeri merekodkan peningkat IHP, dengan sembilan negeri paling tinggi iaitu Terengganu (3.9%), Pahang (3.7%), Kelantan (3.6%), Perak (3.4%), Negeri Sembilan (3.2%), Kedah dan Perlis (3.2%), Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (3.1%), Johor (3.1%) dan Melaka (3.1%) melepasi indeks kebangsaan pasa 2.9 peratus.