SEBUYAU: Eksport minyak sawit mentah (MSM) ke India terus memberi perkembangan positif apabila permintaan MSM negara itu meningkat kepada enam juta tan metrik, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata kementeriannya sedang memperincikan usaha yang perlu diambil bagi memenuhi permintaan negara berkenaan.

Buat masa ini Malaysia hanya mampu mengeksport hampir empat juta tan metrik ke India, sekali gus menjadikannya sebagai pengimport terbesar MSM negara.

"Kita tak dapat beri dan jual semua MSM kepada satu negara sebab itu kita kena lihat juga... India minta kita tambah kepada enam juta tan metrik jadi kita sedang memperincikan (langkah)," katanya kepada pemberita selepas sesi sembang santai bersama pekebun kecil sawit sempena Trek Komoditi 2023 Zon Sarawak.

Sementara itu, mengulas mengenai komitmen China terhadap industri sawit di Malaysia, Fadillah berkata kerjasama erat seperti menghasilkan produk berasaskan komoditi itu sememangnya memberi kelebihan kepada negara dalam meningkatkan jumlah eksport MMSM ke negara berkenaan.

Jelasnya, kerjasama yang dijalinkan antara kedua-dua negara Asia itua termasuk penghasilan kapsul Vitamin A serta produk daging berasaskan tumbuhan (vegan meat).

"Lebih utama ialah mereka (China) secara prinsip bersetuju dengan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) jadi ini memberi kelebihan kepada kita," katanya.

-- BERNAMA