Skip to main content

Dunia

Lapan individu dihormati atas keberanian dalam serangan Bondi Junction

Sumber: NSW Government
Amy Scott menembak mati Cauchi apabila lelaki itu menyerangnya dengan pisau. - Foto NSW Government

SYDNEY: Lapan rakyat Australia akan menerima anugerah keberanian atas tindakan berani mereka melindungi orang awam semasa serangan tikaman maut di pusat beli-belah Bondi Junction, Sydney, yang berlaku tepat dua tahun lalu dan meragut enam nyawa.

Tragedi itu berlaku pada April 2024 di sebuah pusat beli-belah yang sesak, apabila penyerang, Joel Cauchi, yang ketika itu mengalami episod psikotik, memasuki pusat tersebut bersenjatakan pisau.

Advertisement

Serangan itu mengorbankan enam orang dan mencederakan 10 yang lain.

Antara penerima anugerah ialah seorang pegawai polis yang menembak mati Cauchi, dua warga Perancis, serta seorang pengawal keselamatan yang cuba melucutkan senjata penyerang.

Dua mangsa, seorang ibu yang menyelamatkan bayinya sebelum meninggal dunia, serta seorang pengawal keselamatan yang maut pada hari pertama syifnya, akan menerima anugerah secara anumerta.

Enam mangsa yang terbunuh dikenal pasti sebagai Dawn Singleton, 25; Yixuan Cheng, 27; Jade Young, 47; Ashlee Good, 38; Faraz Tahir, 30; dan Pikria Darchia, 55.

10 lagi mangsa cedera sebelum Inspektor Polis New South Wales, Amy Scott, menembak mati Cauchi apabila lelaki itu menyerangnya dengan pisau.

Siasatan mendapati Cauchi, yang didiagnosis menghidap skizofrenia sejak usia remaja, tidak mengambil ubat dan hidup tanpa tempat tinggal ketika serangan berlaku.

Scott akan menerima salah satu daripada enam Pingat Keberanian di bawah senarai Anugerah Dekorasi Keberanian Australia, yang mengiktiraf individu yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang lain.

Gabenor Jeneral Australia, Sam Mostyn, dalam satu kenyataan berkata para penerima anugerah itu menunjukkan “tindakan tanpa mementingkan diri, keberanian dan keazaman dalam keadaan yang tidak terbayangkan dan amat mengerikan”.

“Setiap daripada mereka meletakkan keselamatan orang lain mengatasi diri sendiri, memperlihatkan keberanian dan kepedulian yang luar biasa,” katanya.

Seorang lagi penerima Pingat Keberanian ialah Ashlee Good, yang ditikam dari belakang ketika menolak kereta sorong bayinya.

Apabila Cauchi menyerang anaknya, Good menolaknya, namun ditikam buat kali kedua.

Beliau berjaya memastikan bayinya selamat sebelum meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Dua pengawal keselamatan, Faraz Tahir dan Muhammad Taha, pula menerima anugerah selepas bertindak balas terhadap amaran “kod hitam” melalui radio mereka dan menuju ke arah penyerang.

Tahir maut selepas ditikam di bahagian perut, manakala Taha turut cedera tetapi terselamat.

“Ia sangat bermakna buat saya,” kata Taha kepada penyiar nasional ABC.

“Ia memberi saya kekuatan, bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua yang berdiri teguh pada hari itu.”

Dua warga Perancis, Silas Despréaux dan Damien Guerot, juga akan menerima anugerah selepas mereka bersenjatakan bollard logam dan cuba menghentikan Cauchi.

Sementara itu, suami kepada mangsa Jade Young, Noel McLaughlin, serta seorang jururawat, Catherine Ann Molihan, akan menerima anugerah Pujian bagi Tindakan Berani.

McLaughlin berlari melalui pusat beli-belah untuk membantu isterinya sambil memberi amaran kepada orang ramai selepas melihat penyerang, sebelum kembali untuk memberikan bantuan kecemasan.

Young kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaannya.

Molihan pula meninggalkan sebuah kedai tempat orang awam berlindung untuk keluar membantu dua pengawal keselamatan yang cedera parah.

Sementara itu, awal tahun ini, satu inkues koroner merujuk pakar psikiatri yang pernah merawat Cauchi kepada pihak berkuasa kesihatan, susulan kebimbangan bahawa peluang untuk memastikan beliau kembali menjalani rawatan mungkin telah terlepas.

Koroner turut mengemukakan 23 syor, termasuk gesaan supaya kerajaan New South Wales mempertingkatkan perkhidmatan kesihatan mental dan menyediakan perumahan jangka pendek bagi individu yang mengalami masalah kesihatan mental.

 

Must Watch Video